TAWAU, 17 Julai (Bernama) -- Penggunaan MYJalan, sebuah aplikasi bagi pengguna membuat aduan berkaitan kerosakan jalan, didapati masih rendah di Sabah, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sehubungan itu, beliau berkata penduduk Sabah yang berdepan masalah jalan rosak sama ada jalan kampung, negeri atau Persekutuan perlu memanfaatkan aplikasi berkenaan bagi memastikan jalan terbabit dapat dibaiki segera.
"Kami akan salurkan aduan ke pihak yang bertanggungjawab, kalau jalan itu melibatkan kawasan pelancongan, jalan pertanian kita hantar kepada pihak yang berkaitan, kalau jalan itu jalan bandaran, kita hantar kepada pihak berkuasa tempatan berkaitan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek pembinaan Rumah Kediaman Angkatan Tentera (RKAT) tambahan pelbagai kelas di Kem Kabota di sini hari ini.
Beliau berkata MYJalan yang dibangunkan kerajaan pada 2023 mengamalkan sistem no wrong door policy.
Dalam pada itu, Ahmad berkata syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab menyelenggara jalan Persekutuan wajib memastikan jalan yang rosak termasuk berlubang segera dibaiki.
"Pemilik konsesi berkenaan diwajibkan menampal sebarang lubang jalan dalam masa kurang 24 jam, ini adalah prosedur operasi standard dalam perjanjian penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial