AM

Selangor Lakukan Pemerhatian Sebelum Laksana Inisiatif Berkaitan Vaksin Denggi

10/07/2025 01:36 PM

SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor mengambil pendekatan membuat pemerhatian terlebih dahulu berhubung penggunaan dan kesan vaksin denggi sebelum melaksanakan sebarang inisiatif yang berkaitan. 

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata walaupun Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan vaksin itu membantu, namun pihak kerajaan Persekutuan tidak menggalakkan penggunaan vaksin berkenaan yang baru diperkenalkan di negara ini.

“Vaksin denggi masih di peringkat awal, belum sampai lima tahun. Apabila kita berbincang dengan pihak JKNS, memang dimaklumkan vaksin ini membantu. 

“Namun, perkara ini masih diteliti kerana kita belum tahu apakah kesan vaksin denggi tersebut. JKNS juga menasihatkan supaya kita buat pemerhatian terlebih dahulu sebelum melaksanakan apa-apa program berkaitan vaksin denggi,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) berhubung program vaksin denggi di Selangor.   

Dalam pada itu, Jamaliah berkata Selangor merekodkan 13,685 kes demam denggi bermula Minggu Epidemiologi (ME) pertama hingga ME27 tahun ini. 

Beliau berkata ia menurun sebanyak 66.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2024, iaitu 40,313 kes. 

“Setakat ini, lima kes kematian denggi dilaporkan berbanding 12 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan