AM

Tragedi Sungai Korok: Putri Qisya Terus Terima Sokongan Pelbagai Pihak

10/07/2025 10:54 AM

JITRA, 10 Julai (Bernama) -- Musibah menimpa Putri Qisya Nur Izzat,12, yang kehilangan ibu bapa serta empat adiknya dalam tragedi di Sungai Korok pada Sabtu lepas, terus menerima perhatian pelbagai pihak yang bersimpati dengannya.

Selain, saudara mara, pihak sekolah serta pemimpin masyarakat yang menziarahi sejak Isnin lepas, pelbagai badan bukan kerajaan turut tampil memberikan sokongan dan menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak itu. 

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata kejadian tragis yang menimpa Putri Qisya sangat memberi kesan bukan hanya kepada kanak-kanak itu tetapi juga masyarakat secara umumnya.

“Kita hadir untuk memberi suntikan semangat kepada adik Qisya, diharapkan dia tidak kecewa atas ujian ini yang dia terpaksa lalui sepanjang hayatnya,” katanya semasa kepada pemberita selepas menziarahi kanak-kanak itu di kediaman saudaranya di Taman Sri Aman di sini semalam.

Beliau berkata bagi memastikan nasib Putri Qisya terbela pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah bagi menguruskan segala keperluan khususnya berkaitan pendidikan.

“Kita bagi jaminan, setiap bulan kita akan beri sesuatu yang baik untuk adik Qisya dalam konteks pelajaran dia. Ini jaminan saya dengan kerjasama JPN Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Zuraidi turut menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan cadangan membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di Jalan Sungai Korok, kelmarin.

Zuraidi berkata perkara itu dilihat sebagai langkah terbaik dalam menangani isu keselamatan yang dibangkitkan sesetengah pihak sebagai punca beberapa insiden kemalangan jalan raya.

Turut menziarahi Putri Qisya semalam ialah Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari yang hadir bagi memberikan sokongan moral serta menyalurkan bantuan. 

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah berkata kehadirannya juga bertujuan menyampaikan salam takziah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Putri Qisya dan waris yang lain.

“Saya juga telah bercakap dengan pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk memastikan kesihatan mentalnya tetap terjaga dan sesi kaunseling pun telah dijalankan dan difahamkan sudah ada jadual sesi kaunserling,” katanya.

AMK Kedah juga akan mendapatkan maklum balas susulan bagi memastikan kebajikan dan soal pendidikan Putri Qisya terus terjamin.

Dalam kejadian Sabtu lepas, kereta Proton Iswara yang dinaiki ibu bapa Putri Qisya bersama empat adiknya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja dekat sini.

Ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik beradik, iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan ditemukan maut pada pagi Isnin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan