PAPAR, 17 Sept (Bernama) -- Semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu meletakkan fokus utama membantu rakyat yang dilanda bencana terutama tanah runtuh dan banjir pada masa ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Justeru, beliau menyeru semua supaya melupakan dahulu perkara lain antaranya politik, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kebajikan rakyat perlu diutamakan.
“Tidak mahu fikir, bubar-bubar tak mahu fikir lagi. Bubar belum lagi kami fikir. Kami fokus untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini masanya untuk kita tunjukkan perbezaan politik bukan batas, kita mahu membantu.
“Dalam kita menghadapi musibah, semua pihak termasuk agensi kerajaan mesti digembleng untuk membantu. Jangan dulu kita fikir politik-politik ini. Jangan dijadikan isu itu dan ini, bantu rakyat kita dahulu,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melawat Kampung Mook di sini bagi menziarahi keluarga mangsa terlibat dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan Emily Johnny, 38, dan anaknya Xarell Myre Aristothle, 11, setelah tertimbus dalam kejadian pada 15 Sept lepas.
Hajiji pada lawatan itu turut menangis dan beberapa kali dilihat mengelap air matanya ketika menyantuni mereka yang terlibat, dan semasa keluarga mangsa menceritakan kepada beliau tentang kejadian yang menimpa mereka.
Beliau berkata kerajaan negeri dan Persekutuan telah mula menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat antaranya Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan dan BWI RM10,000 kepada waris mangsa meninggal dunia.
“Ada juga bantuan daripada Yayasan Sabah. Rumah yang runtuh itu ada tiga rumah kita bantu RM30,000 setiap rumah diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan,” katanya.
Beliau berkata pada masa ini kerajaan negeri dan Persekutuan juga sedang berusaha untuk memulihkan kehidupan rakyat dan negeri berkenaan yang dilanda bencana besar sebelum ini.
Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,897 orang daripada 813 keluarga dari 107 kampung setakat 8 pagi ini, berbanding 2,813 mangsa daripada 752 keluarga semalam.
Sebanyak 13 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak Jumaat lepas di negeri berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial