KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd hari ini mengumumkan langkah-langkah bantuan kewangan yang mengutamakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas di samping sokongan untuk pelanggan individu di kawasan bencana banjir seluruh negara.
Bank berkenaan dalam satu kenyataan berkata, ia menawarkan program pembiayaan Kemudahan Bantuan Bencana untuk perniagaan di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai kawasan bencana banjir.
Katanya, di bawah kemudahan ini, PMKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang rosak seperti kilang pembuatan dan mesin serta untuk modal kerja asas.
"Sementara itu, moratorium sehingga enam bulan turut ditawarkan kepada pelanggan PMKS Bank Islam sedia ada di kawasan bencana banjir yang ditetapkan oleh NADMA.
"Bantuan kewangan ini merangkumi semua kemudahan kredit dengan pembayaran yang dijadualkan atau perlu dibayar mengikut kontrak termasuk Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kemudahan Kredit Pusingan dan Talian Tunai serta Kemudahan Perdagangan,” katanya.
Selain itu, Bank Islam meneruskan semula Program Prihatin Banjir untuk pelanggan pembiayaan individu.
"Pelanggan Pembiayaan-i Rumah, Peribadi dan Kenderaan yang terjejas bencana boleh memohon penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan tertakluk kepada terma dan syarat berkaitan.
"Bank turut menawarkan penggantian percuma untuk Kad Kredit dan Debit-i serta buku cek yang rosak atau hilang,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff berkata pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan terkini di semua kawasan yang terjejas.
"Bagi meringankan beban pelanggan, kami melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan menjadi lebih mudah dan cepat untuk mereka,” katanya.
Permohonan bantuan kewangan boleh dikemukakan di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial