AM

Percubaan Sistem NIISe Di KSAB, BSI Bermula 22 Sept Ini - KDN

17/09/2025 01:28 PM

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula 22 Sept hingga 28 Feb tahun depan.

KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan percubaan sistem itu turut dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2, Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu secara berperingkat dalam tempoh sama.

Menurut KDN, sepanjang tempoh percubaan NIISe berlangsung, sistem Kod QR dan aplikasi MyBorderPass sedia ada masih diteruskan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen.

“Walau bagaimanapun, orang ramai termasuk pelawat asing digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyNIISe bagi tujuan proses kemasukan dan perlepasan imigresen di laluan pintu masuk yang telah diaktifkan penggunaannya di sepanjang tempoh percubaan ini,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai turut diingatkan dokumen perjalanan atau pasport yang sah masih diperlukan untuk proses kemasukan dan perlepasan imigresen menggunakan sistem MyNIISe mengikut ketetapan Akta Imigresen 1959/63.

Sistem NIISe adalah satu daripada inisiatif utama di bawah agenda reformasi kerajaan dan pelaksanaannya dipercepat daripada jadual asal iaitu Mac 2026. 

Pada akhir tempoh percubaan, sistem NIISe akan menggantikan sistem kod QR sedia ada bagi meningkatkan dan menaik taraf kecekapan sistem semakan keselamatan automatik di pintu masuk negara.

Aplikasi MyNIISe boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan