PAPAR, 16 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganggarkan sebanyak 100,000 kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di seluruh negara layak membuat permohonan pendaftaran menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menikmati manfaat subsidi petrol RON95.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata anggaran tersebut dibuat berdasarkan data SKPS diintegrasikan bersama sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus menekankan kepentingan permohonan pendaftaran itu dalam usaha KPDN mengawal selia mekanisme penyaluran subsidi untuk kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan.
Bagaimanapun Armizan berkata jumlah kenderaan syarikat daripada kedua-dua sektor yang membuat permohonan pendaftaran tersebut, yang bermula Isnin lepas, setakat ini masih rendah iaitu hanya sekitar 154 syarikat merangkumi 335 kenderaan.
Beliau berkata sebanyak 70 syarikat melibatkan 240 kenderaan adalah daripada sektor pengangkutan darat awam manakala selebihnya iaitu 84 syarikat dengan 95 kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
"Walaupun tiada tarikh tutup, namun saya menggesa syarikat-syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak supaya membuat pendaftaran segera bagi memastikan mereka mendapat manfaat subsidi ini pada hari pertama ia dilaksanakan," katanya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Lok Kawi Height, Kinarut, dekat sini, yang merupakan antara PPS beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir dan tanah runtuh di daerah berkenaan.
Mengulas lanjut, Armizan berkata syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak juga perlu memohon Fleet Card daripada tiga syarikat minyak pilihan selepas proses permohonan pendaftaran menerusi SKPS selesai.
"Kita harap supaya semua kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan memanfaatkan subsidi petrol RON95 ini kerana mereka menawarkan perkhidmatan kepada pengguna. Kemudahan subsidi ini pada akhirnya akan mengurangkan impak kepada pengguna secara keseluruhannya," katanya.
Permohonan pendaftaran SKPS boleh dibuat menerusi pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial