KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters China 2025 hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Shenzhen Arena, pasangan nombor tiga dunia yang beraksi buat kali pertama selepas memenangi kejohanan dunia di Paris, Perancis bulan lepas, tidak berdepan masalah untuk menundukkan gandingan Amerika Syarikat Chen Zhi Yi–Francesca Corbett 21-12, 21-14 dalam tempoh 31 minit.
“Perlawanan hari ini saya rasa okay sebab kami dah main dekat China beberapa kali. Apa yang penting, kami kena kekalkan momentum,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Tang Jie-Ee Wei dijadualkan bertemu gandingan Indonesia Jafar Hidayatullah–Felisha Pasaribu pada pusingan kedua esok, yang mara selepas menewaskan beregu campuran Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 23-21, 21-17.
Pada edisi lepas, Tang Jie-Ee Wei menamatkan saingan pada separuh akhir selepas tunduk kepada bekas beregu campuran nombor satu dunia Feng Yanzhe-Huang Dongping 21-18, 21-13.
Sementara itu, perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia gagal menamatkan badi tewas pada pusingan pertama apabila tunduk kepada wakil Taiwan Lin Chun Yi.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu bermula baik apabila menang set pertama 21-17, namun gagal meneruskan rentak cemerlang itu pada set kedua apabila tewas 21-23 sebelum menarik diri pada set ketiga ketika ketinggalan 6-14.
Turut gagal mara ke pusingan kedua adalah beregu lelaki negara Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi, yang tumpas di tangan beregu India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 22-24, 13-21.
Keputusan lain:
(Nota: Pemain Malaysia kecuali dinyatakan)
Perseorangan lelaki: Leong Jun Hao mn Anthony Sinisuka Ginting (INA) 21-19, 5-21, 21-10
Beregu lelaki: Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin (TPE) mn Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-10-21-7
Beregu campuran: Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mn Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil (INA) 21-6, 21-14
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial