SUBANG, 10 Sept (Bernama) -- Seramai 10 pegawai daripada Pasukan Pemerhati Interim (IOT) berlepas ke Kemboja hari ini bagi melaksanakan misi pemantauan terhadap perjanjian gencatan senjata antara negara itu dengan Thailand.
Panglima Angkatan Bersama Left Jen Datuk Pahlawan Zahani Zainal Abidin berkata pasukan itu diketuai Brig Jen Datuk Pahlawan Asri Shukor dari Tentera Darat Malaysia dan turut disertai lima pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, udara dan laut serta masing-masing dua pegawai tentera dari Indonesia dan Filipina.
“IOT ini ditubuhkan atas jemputan kerajaan Kemboja, manakala rundingan dengan Thailand masih diteruskan. Malaysia selaku ‘lead nation’ diberi mandat menyelaras misi ini bersama Indonesia dan Filipina, dengan Singapura serta Brunei dijangka menyertai dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media Majlis Penghantaran IOT di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Pasukan 10 pegawai IOT berlepas pada 11 pagi menaiki pesawat pengangkut C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menuju ke Phnom Penh dengan perjalanan kira-kira tiga jam.
Zahani berkata, pasukan berkenaan akan ditempatkan di dua lokasi strategik di Kemboja iaitu Preah Vihear dan Banteay Meanchey, sekitar 40 kilometer dari sempadan konflik dengan Thailand, bagi melaksanakan rondaan harian dan mingguan untuk memastikan perjanjian gencatan senjata dipatuhi.
Katanya penubuhan IOT mencerminkan solidariti ASEAN dalam mencari penyelesaian aman melalui dialog serta pemantauan neutral dan profesional.
“Misi ini bersifat sementara dengan tempoh penempatan selama tiga bulan namun sekiranya perlu, penempatan pasukan IOT akan dilanjutkan berdasarkan keadaan semasa dan persetujuan negara tuan rumah, Kemboja,” katanya.
Zahani berkata cabaran utama IOT adalah memastikan laporan pemerhatian bersifat neutral, memandangkan pasukan itu ditempatkan di pihak Kemboja, manakala Thailand belum bersedia menerima IOT walaupun Terma dan Rujukan (Term of Reference) (TOR) telah ditetapkan.
“Kita tekankan kepada anggota supaya memastikan laporan yang dibuat bersifat berkecuali dan tidak berat sebelah. Misi ini adalah simbol komitmen ASEAN dalam membantu proses perdamaian antara dua negara,” katanya.
Zahani berkata keupayaan ATM mengatur gerak pasukan pemerhati dengan segera membuktikan tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme yang tinggi, setanding dengan piawaian pasukan pemantau antarabangsa.
“IOT, sama seperti pasukan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak dibekalkan senjata, sebaliknya hanya dilengkapkan pacuan empat roda, sistem komunikasi radio serta kemudahan perhubungan bagi melaksanakan tugas pemerhatian dan pelaporan secara profesional,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial