AM

Banjir Di Perak Pulih, Lebih 3,000 Mangsa Terjejas Di Sabah Dan Kelantan

17/09/2025 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Situasi banjir di Perak pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim di daerah Muallim yang menempatkan 39 mangsa daripada 10 keluarga ditutup 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan paras air di Stesen Sungai Slim, Slim River merekodkan bacaan pada tahap waspada dengan bacaan 24.77 meter (m), melebihi paras normal 23.50m.

Di SABAH, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,897 orang daripada 813 keluarga dari 107 kampung setakat 8 pagi ini, berbanding 2,813 mangsa daripada 752 keluarga semalam.

Kesemua mereka berlindung di 22 PPS dan sebuah pusat pemindahan kekal (PPK) yang dibuka sejak 9 Sept di lima daerah.

Jawatankuasa itu memaklumkan daerah Membakut merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu sebanyak 931 orang daripada 277 keluarga, diikuti Penampang (809 orang, 220 keluarga) dan Putatan (559 orang, 140 keluarga).

Selain itu, PPS di Papar menempatkan sebanyak 317 orang daripada 87 keluarga serta  281 orang daripada 89 keluarga di Beaufort.

Sementara itu, di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di Felda Chiku 1 dan 2, Gua Musang meningkat kepada 212 orang setakat 9 pagi ini berbanding 70 orang semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Dewan Semai Bakti Felda Chiku 2.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan