DUNIA

Malaysia Dan 15 Negara Suarakan Kebimbangan Keselamatan Flotila Sumud Global Menuju Ke Gaza

16/09/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Malaysia dan 15 negara menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Flotila Sumud Global, sebuah inisiatif masyarakat sivil yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, menteri-menteri luar negara terbabit menegaskan sokongan mereka terhadap misi kemanusiaan itu yang turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan mendesak rakyat Palestin serta menggesa penghentian perang di Gaza.

“Objektif keamanan, penyampaian bantuan kemanusiaan, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah dikongsi oleh kerajaan kami,” menurut kenyataan itu.

Para menteri menggesa semua pihak supaya tidak melakukan sebarang tindakan menyalahi undang-undang atau keganasan terhadap flotila berkenaan dan menekankan kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Mereka turut memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia peserta flotila, termasuk serangan ke atas kapal di perairan antarabangsa atau penahanan secara tidak sah, pelakunya perlu dipertanggungjawabkan.

Menteri-menteri luar yang menandatangani kenyataan itu adalah dari Bangladesh, Brazil, Colombia, Indonesia, Ireland, Libya, Malaysia, Maldives, Mexico, Pakistan, Qatar, Oman, Slovenia, Afrika Selatan, Sepanyol dan Turkiye.

Flotila Sumud Global yang disertai warganegara daripada negara-negara berkenaan telah belayar dengan matlamat menyalurkan bantuan ke Gaza serta memperkukuh desakan bagi keamanan di wilayah yang dilanda konflik itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama (DIRCO) Afrika Selatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan