KEPALA BATAS, 15 Sept (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sokongan Kementerian Komunikasi menganjurkan tayangan wayang pacak bagi mendekatkan generasi muda dengan filem tempatan sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penganjuran program sebegitu penting khususnya di kawasan kampung kerana bukan sahaja memberikan hiburan, malah dapat menarik minat generasi muda terhadap karya tempatan.
“Saya lihat aktiviti seperti ini memberi kegembiraan dan mendekatkan lagi anak-anak dengan filem tempatan.
"Kita lihat ramai anak muda kini lebih ralit dengan peranti dan telefon tetapi menonton wayang pacak adalah aktiviti kemasyarakatan yang memberi limpahan positif dari segi sosial,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Fahmi hadir menyantuni penduduk di Permatang Bertam pada program berkenaan yang menayangkan filem ‘Don Dukun’ sempena Jelajah Filem Malaysia ke-34 anjuran FINAS.
Program yang bermula pada 9.15 malam itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Kira-kira 250 penduduk memeriahkan program itu yang turut diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia dengan pelbagai aktiviti komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial