AM

Projek Internet Berkelajuan Tinggi Untuk Warga ATM Dijangka Siap Menjelang 2027 - Fahmi

14/09/2025 04:41 PM

BUTTERWORTH, 14 Sept (Bernama) -- Projek Fibre-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara dijadual siap sepenuhnya menjelang Mei 2027, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pada masa ini, kerja-kerja pelaksanaan giat dijalankan dengan keutamaan kepada beberapa kem tentera termasuk Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Subang.

“Bagi Pangkalan Udara Butterworth, kita jangka ia (projek FTTH) dapat disiapkan lebih awal iaitu pada Januari 2026. Insya-Allah dengan keutamaan yang telah ditetapkan, warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menikmati akses Internet lebih pantas dan murah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek FTTH di RKAT Butterworth di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.

Fahmi berkata projek FTTH yang melibatkan keseluruhan 73 kem tentera di seluruh negara dengan lebih 59,000 unit RKAT, adalah hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta ATM melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 11 Okt 2024.

Beliau berkata warga ATM berpeluang melanggan pakej Perajurit Broadband pada kadar RM49 sebulan bagi kelajuan 100Mbps, dengan harga promosi RM39 sebulan untuk tempoh enam bulan pertama.

“Internet bukan sekadar untuk komunikasi, malah penting bagi meningkatkan kualiti hidup warga tentera, menyokong pendidikan anak-anak serta memperkukuh kesejahteraan keluarga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Fahmi berkata kelewatan permulaan projek selepas pengumuman pada Oktober 2024 adalah berpunca daripada proses tender dan saringan keselamatan pekerja yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau berkata MCMC akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan supaya menepati piawaian dan memberi manfaat maksimum kepada warga tentera.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan