AM

Bernama, PERKESO Diminta Teliti Bentuk Bantuan Untuk Petugas Media - Fahmi

15/09/2025 01:33 PM

GEORGE TOWN, 15 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengadakan perbincangan lanjut dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada petugas media mengikut keperluan dan risiko tugasan masing-masing.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perbincangan itu penting memandangkan kerjaya dalam bidang kewartawanan melibatkan pelbagai pengkhususan dan bentuk tugasan berbeza sekali gus mewujudkan keperluan keselamatan sosial yang khusus.

"Saya juga melihat dalam isu melibatkan aspek keselamatan sosial bagi para pekerja bidang kewartawanan, saya minta supaya pihak Bernama mengadakan perbincangan dengan pihak PERKESO kerana kita dapati bila sebut wartawan, sebenarnya banyak ada wartawan dari pelbagai pengkhususan dan juga bentuk pekerjaan yang mungkin berbeza.

"Bukan satu deskripsi tugas yang sama dan bagi rakan-rakan jurugambar dan jurukamera, mereka perlu memikul peralatan yang agak berat, jadi mungkin mengalami masalah bahu dan juga slip disc manakala bagi yang bertugas di lapangan, contoh mereka mungkin berdepan risiko keadaan cuaca dan kemalangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan Kwong Wah Yit Poh, Choo Kar Chun, 44, yang mengalami masalah kurang pendengaran sejak Oktober 2024. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita berkenaan Arul Rajoo Durar Raj.

Choo adalah penerima ke-500 Tabung Kasih@HAWANA dan ke-22 di Pulau Pinang, yang disalurkan kepada pengamal media di seluruh negara sejak inisiatif itu diperkenal pada 2023 di bawah Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama.

Fahmi berkata pihaknya turut mempertimbangkan bantuan tambahan kepada Choo bagi menggantikan alat bantuan pendengaran yang kini memerlukan peranti lebih sensitif untuk membantu beliau menjalankan tugas dengan lebih baik.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa kemerosotan pendengaran Choo mungkin ada kaitan dengan bidang tugasnya yang banyak mendengar rakaman audio wawancara dan sidang media secara berulang.

“Saya juga akan hubungi Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong untuk melihat sekiranya PERKESO juga dapat membantu,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata pihaknya juga komited memperkukuh kerjasama dengan kelab media di seluruh negara dalam usaha memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada pengamal media yang memerlukan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.

Beliau berkata walaupun tiada kuota tahunan bagi jumlah penerima atau dana yang diagih, pendekatan lebih fleksibel dan berteraskan keperluan akan diguna pakai bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dengan lebih efisien.

“Untuk dua tahun kebelakangan ini, sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan di bawah Tabung Kasih@HAWANA dan sehingga kini, seramai 500 penerima telah mendapat manfaat daripadanya dan saya akan berbincang dengan pihak pengurusan Bernama berhubung baki dana sedia ada serta usaha untuk menambah semula dana bagi kesinambungan tabung tersebut.

“Kita juga tidak meletakkan sebarang kuota tetap namun saya telah memberi komitmen kepada kelab-kelab media gabungan bahawa jika terdapat kes-kes tertentu di peringkat negeri, mereka boleh berhubung terus dengan Bernama untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya.

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 menjadi wadah keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap sumbangan pengamal media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan