AM

Wartawan Kwong Wah Yit Poh Di P. Pinang Terima Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA

15/09/2025 01:58 PM

GEORGE TOWN, 15 Sept (Bernama) -- Nasib wartawan Kwong Wah Yit Poh di Pulau Pinang iaitu Choo Kar Chun yang berdepan masalah kurang pendengaran mendapat perhatian Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil. 

Choo, 44, menjadi penerima ke-500 bagi sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan sendiri oleh Fahmi di kediamannya di Air Itam di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita berkenaan Arul Rajoo Durar Raj.

Choo, yang ditemui selepas itu, mengucapkan terima kasih kepada Fahmi dan semua pihak yang terlibat dalam menghulurkan bantuan tersebut kepadanya.

Penerima ke-22 dari Pulau Pinang itu, yang telah berkhidmat dengan akhbar berbahasa Cina tersebut sejak 2018, mula mengalami masalah kurang pendengaran pada Oktober 2024 dan hanya menyedarinya selepas melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Pada mulanya saya tidak dengar sebelah telinga sahaja sebelum kedua-dua telinga terus tak dengar dan perlu pakai alat bantuan pendengaran yang setiap satu bernilai RM4,000... saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan keadaan saya.

"Menurut doktor, masalah kurang pendengaran itu mungkin disebabkan semasa saya bekerja sebagai wartawan kerana perlu dengar audio rakaman berulang kali," katanya kepada pemberita.

Choo, yang bertugas sebagai wartawan jenayah, berkata beliau juga berterima kasih kepada Fahmi yang berhasrat menghulurkan bantuan tambahan kepadanya untuk membeli alat bantuan pendengaran yang lebih sensitif. 

Beliau berkata alat itu penting kerana akan membantunya mendengar dengan jelas dan baik terutama ketika menjalankan tugas selain untuk berkomunikasi. 

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 menjadi wadah keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap sumbangan pengamal media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan