KOTA BHARU, 14 Sept (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 338.3 tan beras Siam bernilai kira-kira RM1.36 juta dalam 108 kes penyeludupan yang dikesan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand sejak 1 Jan hingga 12 Sept tahun ini.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata daripada jumlah itu, 329.9 tan merupakan beras putih bernilai RM1.3 juta manakala selebihnya adalah beras pulut berjumlah RM59,600.
“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 44 individu ditahan terdiri daripada 41 lelaki dan tiga wanita kerana terbabit dengan cubaan menyeludup beras dari negara jiran.
“Kesemua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata PGA kekal komited mempergiatkan operasi di sempadan bagi membanteras penyeludupan beras yang boleh menjejaskan pasaran tempatan serta kesejahteraan rakyat.
Nik Ros Azhan berkata PGA juga akan terus menjalankan risikan dan rondaan bersepadu bersama agensi lain bagi memastikan sempadan negara sentiasa terkawal daripada kegiatan penyeludupan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial