DUNIA

Malaysia Muncul Sebagai Kuasa Pertengahan Berpengaruh - Penganalisis

14/09/2025 03:10 PM

SINGAPURA, 14 Sept (Bernama) -- Gabungan kekayaan sumber asli dan usaha Malaysia melalui dasar serta diplomasi telah meletakkan negara ini muncul sebagai sebuah kuasa pertengahan yang berpengaruh, menurut penganalisis politik James Chai.

Dalam ulasannya bertajuk “Malaysia has something great powers want” yang diterbitkan CNA pada 12 Sept, Chai menegaskan kini "bola berada di gelanggang Malaysia" untuk dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pengaruh dalam politik antarabangsa ditentukan oleh siapa lebih memerlukan siapa. Jarang sekali sebuah negara pertengahan seperti Malaysia memiliki aset yang diinginkan kuasa besar,” tulisnya.

Chai menekankan bahawa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu - kali pertama sejak 2013 - berlaku kurang dua minggu selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan tarif timbal balik “Liberation Day.”

Malaysia memegang jawatan selaku pengerusi ASEAN dan bertindak sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China.

“Dalam suasana ketidaktentuan geopolitik, jelas Xi mahu meletakkan China sebagai rakan dagang paling dipercayai Malaysia — yang berlandaskan hasil menang-menang dan saling percaya,” katanya.

Beliau berkata, China dan Malaysia bukan sahaja menandatangani 31 memorandum persefahaman dalam pelbagai bidang, malah yang paling penting, kemudian didedahkan Xi menawarkan bantuan untuk membangunkan keupayaan Malaysia dalam pemprosesan nadir bumi.

Chai menyifatkan tawaran itu signifikan, kerana penemuan 16.2 juta tan metrik nadir bumi di Malaysia yang dianggarkan bernilai US$175 bilion serta potensi akses kepada teknologi China untuk proses pengasingan pelbagai peringkat yang kompleks — diibaratkan seperti memegang kunci utama kepada peti simpanan.

“Jika kerjasama dengan China menjadi kenyataan, Malaysia mungkin membangunkan ekosistem nadir bumi dua landasan — satu dengan teknologi China dan satu lagi dengan syarikat Australia, Lynas yang mempunyai loji pemprosesan nadir bumi di Pahang,” katanya.

Ini bermakna dalam tahun-tahun mendatang, Malaysia boleh menjadi medan persaingan dalam perebutan global bagi nadir bumi — dipikat kuasa besar, namun tidak terikat dengan mana-mana pihak, kata beliau. 

Chai turut menegaskan kepentingan nadir bumi yang semakin melonjak berikutan penggunaannya dalam teknologi teras seperti pusat data, telefon pintar, kenderaan elektrik, robotik dan peralatan semikonduktor.

Beliau juga berpendapat, ia membawa pengaruh geopolitik besar. 

China, yang hampir memonopoli penapisan dan pemprosesan nadir bumi, telah menggunakan kedudukan itu sebagai pengaruh dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Malaysia akan terus kekal sebagai hab penting semikonduktor, khususnya kerana peranannya dalam pemasangan, ujian dan pembungkusan peringkat akhir.

“Dunia merasai buat kali pertama kedudukan penting Malaysia dalam pemasangan, ujian dan pembungkusan peringkat akhir semasa COVID-19, apabila sekatan pergerakan negara menghentikan pengeluaran Toyota, Ford, Nissan, dan General Motors,” katanya.

Malaysia menyumbang 13 peratus daripada pengeluaran cip global peringkat akhir serta tujuh peratus pasaran global, selain membekalkan sekitar 20 peratus daripada import semikonduktor Amerika Syarikat.

Dari sudut geografi, Chai berkata Malaysia memiliki kelebihan tambahan kerana Selat Melaka merupakan laluan perdagangan global strategik, dengan 25 peratus barangan dagangan dunia dan 60,000 kapal melaluinya setiap tahun.

Beliau juga berkata, berbanding rakan serantau, Malaysia berada pada kedudukan lebih baik untuk mendapat manfaat daripada perubahan dinamik perdagangan global.

“Majalah The Economist baru-baru ini berhujah bahawa Malaysia berkemungkinan muncul sebagai antara pihak yang mendapat keuntungan daripada serangan tarif Trump. 

"Antara faktor utamanya termasuk perbezaan tarif yang lebih menguntungkan, pemindahan kargo yang lebih rendah, serta kebergantungan lebih rendah kepada permintaan Amerika,” tulis Chai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan