EKONOMI

Mesyuarat WGSITS12 Platform ASEAN Perkukuh Kerjasama Seiring Piawaian Global -- DOSM

11/09/2025 12:57 AM

SEREMBAN, 10 Sept (Bernama) -- Sesi Mesyuarat ke-12 Kumpulan Kerja mengenai Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa (WGSITS12) pada 8-9 September lepas, menjadi platform penting ASEAN dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata aspek lain adalah  kebolehbandingan dan memperbaiki kualiti serta ketepatan masa statistik perdagangan perkhidmatan sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 (ACSS15) berkata ini memandangkan statistik yang diyakini dan berwawasan adalah penting bagi menyokong penggubalan dasar ASEAN, integrasi ekonomi serta pembangunan mampan.

“Dalam perkembangan pesat ekonomi global hari ini, statistik perdagangan dan perkhidmatan antarabangsa perlu disesuaikan dengan pendigitalan, model perniagaan baharu dan perubahan aliran pelaburan semasa.

“Melalui WGSITS, kami memastikan sistem statistik ASEAN kekal relevan boleh dibandingkan dan diyakini untuk memacu keputusan berasaskan bukti serta pertumbuhan serantau yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

WGSITS12 yang dihadiri 22 peserta negara anggota ASEAN (AMS) selain wakil Malaysia dan Sekretariat ASEAN (ASEANstats) telah diadakan di Port Dickson, dekat sini.

Mohd Uzir berkata WGSITS12 juga berperanan sebagai platform bagi menilai kemajuan inisiatif terdahulu dan merangka hala tuju lima tahun akan datang dengan para delegasi membincangkan pencapaian dan cabaran dalam penyediaan serta perkongsian statistik perdagangan perkhidmatan, termasuk cara data dikumpul dan diterbitkan di seluruh rantau.

Sesi itu juga menumpukan penyediaan pelan kerja baharu bagi 2026–2030 dengan menyelaraskan statistik perdagangan perkhidmatan kepada matlamat ekonomi ASEAN yang lebih luas.

“Peserta bertukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama melalui Kerangka ASEAN Membantu ASEAN serta menerima maklumat terkini mengenai garis panduan antarabangsa yang akan membentuk masa depan statistik perdagangan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata delegasi juga mengambil maklum mengenai prestasi kukuh perdagangan perkhidmatan antarabangsa ASEAN pada 2024, yang meningkat 12.2 peratus kepada US$1.3 trilion (US$1 = RM4.21).

Jelasnya, eksport meningkat sebanyak 14.0 peratus kepada US$667.9 bilion manakala import naik sebanyak 10.2 peratus kepada US$618.5 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan dagangan US$49.3 bilion.

Perdagangan perkhidmatan intra-ASEAN turut berkembang dengan eksport meningkat sebanyak 13.1 peratus kepada US$92.0 bilion manakala import sebanyak 13.3 peratus kepada US$85.9 bilion merangkumi hampir 14.0 peratus daripada jumlah sektor itu di peringkat serantau.

Momentum positif itu, katanya, menonjolkan pemulihan dalam perkhidmatan pelancongan dan pengangkutan serta pertumbuhan berterusan perkhidmatan digital dan perniagaan di seluruh ASEAN.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata sebagai sebahagian daripada kepengerusian Malaysia, Jabatan Perangkaan membentangkan pelan kerja kebangsaan serta pengalaman dalam penyediaan Statistik Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa (SITS) bagi meningkatkan kualiti data, mempercepat ketepatan masa dan memperluas liputan sejajar piawaian antarabangsa.

“Pelan kerja ini juga mencerminkan inisiatif Malaysia untuk mengharmonikan sistem survei, memperkukuh kerjasama dengan pihak utama yang berkepentingan serta menangani cabaran penyediaan statistik melalui inovasi dan penambahbaikan teknikal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan