AM

SWCorp Tingkat Kecekapan Warga Kerja Demi Kelestarian Pengurusan Sisa Pepejal

10/09/2025 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) di Dewan Auditorium, UM, Cyberjaya.

Menurut kenyataan SWCorp, MoU itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan negara, khususnya dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Melalui MoU tersebut, SWCorp komited meningkatkan kecekapan dan kompetensi warga kerjanya dengan membuka peluang pengajian secara sistematik melalui Program Diploma Eksekutif Pengurusan Penguatkuasaan Undang-Undang serta Diploma Eksekutif Pengurusan (Pentadbiran dan Operasi).

"Seramai 100 warga kerja SWCorp kumpulan pelaksana telah dipilih berdasarkan kriteria tertentu dan akan memulakan pengajian bulan ini, dengan kuliah pertama dijadualkan pada 13 September," menurut kenyataan itu.

Selain itu, SWCorp terus meningkatkan kemahiran warga kerjanya supaya bukan sahaja lebih berpengetahuan dalam operasi dan penguatkuasaan, malah mampu melaksanakan tugas di lapangan dengan lebih berkesan.

"Modul yang disediakan oleh UMCCed direka bentuk agar relevan dengan bidang tugas, meliputi aspek teori dan praktikal berkaitan program yang ditawarkan," menurut kenyataan itu. 

Program ini membuktikan komitmen SWCorp dalam memacu pembangunan profesional dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, selain memperkukuh struktur dan peranan warga kerja supaya lebih efektif serta selaras dengan amalan terbaik industri.

“Program ini turut menggabungkan kekuatan pengalaman kerja lapangan dengan pendekatan akademik yang tersusun, sekali gus memperkasa warga kerja dengan pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan tugas secara lebih cekap dan berdaya saing,” menurut kenyataan itu.

Pemeteraian MoU itu juga penghargaan terhadap sumbangan warga kerja SWCorp yang sentiasa menghadapi cabaran di barisan hadapan, sekaligus menjadi dorongan untuk mereka terus meningkatkan kemahiran melalui pembelajaran berterusan. 

Program itu selaras dengan dasar kecemerlangan SWCorp 2.0 yang menumpukan kepada pembangunan modal insan melalui pelaksanaan program Best Home Talent.

"Dengan termeterainya MoU ini, SWCorp melalui kerjasama dengan UMCCed meletakkan asas kukuh dalam pembangunan tenaga kerja profesional yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, sekali gus menjadi aset penting negara dalam memperkukuh agenda kelestarian pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan