KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pelanjutan dasar pendidikan wajib ke peringkat menengah menjadi langkah penting dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035, sekali gus menandakan satu reformasi besar bagi memastikan murid tidak tercicir selepas tamat Tahun Enam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan 2025 berkata pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) itu, selaras dengan amalan antarabangsa.
“Apabila murid kekal berada dalam sistem persekolahan, kita dapat mengurangkan dan menangani isu keciciran, menangani isu perkahwinan bawah umur dan pelbagai gejala sosial lain yang berpunca daripada ketiadaan akses kepada pendidikan,” katanya.
Pindaan RUU Pendidikan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju, selepas 15 Ahli Dewan Negara membahaskannya di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali.
Fadhlina berkata sejak dasar pendidikan wajib diperkenalkan pada 2003, kadar penyertaan murid sekolah rendah meningkat daripada 92.9 peratus kepada 99.39 peratus pada 2024, melepasi sasaran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Bagaimananapun, beliau berkata kadar enrolmen peringkat menengah masih memerlukan peningkatan, dengan 96.31 peratus bagi menengah rendah dan 92.6 peratus bagi menengah atas.
“Pelanjutan dasar ini akan memberi ruang lebih luas kepada pelajar untuk menamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima, sekali gus meningkatkan peluang mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, atau memasuki alam pekerjaan dengan lebih berdaya saing.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata RUU Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025, bertujuan memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat dan memastikan keberkesanan penguatkuasaan.
“Pindaan ini bukan sahaja memberi jaminan perlindungan lebih luas kepada pemberi maklumat, malah memastikan sebarang pendedahan mengenai salah laku dapat disiasat secara adil demi kepentingan awam,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.
Antara pindaan utama termasuk pemotongan proviso Seksyen 6 Akta 711, yang membolehkan individu dilindungi walaupun maklumat yang didedahkan tertakluk kepada undang-undang lain seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Kanun Keseksaan, selagi pendedahan dibuat kepada agensi penguatkuasaan dengan niat baik.
Kulasegaran berkata pindaan turut memperkenalkan subseksyen baharu yang memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan, untuk mengekalkan perlindungan walaupun pemberi maklumat terlibat dalam kelakuan tidak wajar, sekiranya maklumat yang diberikan mempunyai kepentingan awam.
“Agensi penguatkuasaan mesti meneliti fakta dan konteks sebelum membuat keputusan, sama ada perlindungan wajar dikekalkan,” katanya.
Terdahulu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Racun (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh penguatkuasaan Akta Racun 1952 (Akta 366), dalam menangani isu penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik.
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata pindaan utama melibatkan peluasan kuasa kepada pegawai polis tanpa mengira pangkat untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan, berbanding sebelum ini yang terhad kepada pegawai berpangkat inspektor ke atas.
“Pindaan akta ini dijangka dapat memperluas keberkesanan pelaksanaan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan memberikan kejelasan dan perluasan kuasa kepada mana-mana pegawai polis yang ditakrif di bawah Akta Polis 1967.
“Ini akan memperkasakan tindakan, pemeriksaan dan siasatan terhadap kes-kes penyalahgunaan bahan seperti ketum dan psikotropik,” katanya sebelum RUU Racun (Pindaan) 2025 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh empat Ahli Dewan Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial