EKONOMI

Kerajaan Rangka Strategi Pastikan Impak Tarif AS Tidak Jejas Pelaburan Langsung Asing - MITI

09/09/2025 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kerajaan telah merangka strategi bagi memastikan impak tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia tidak menjejaskan pelaburan langsung asing, sekali gus mengurangkan impak terhadap ekonomi negara, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Katanya antara langkah yang diambil melalui agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ialah menambah baik landskap infrastruktur perindustrian serta mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan ekosistem selain kemudahan menjalankan perniagaan untuk menarik pelaburan masuk ke dalam negara. 

“Kerajaan turut mengutamakan bakat dan guna tenaga dalam sektor berteknologi tinggi, menggiatkan aktiviti penyelidikan serta memperkenalkan Elaun Modal Automasi bagi menggalakkan penggunaan automasi dan Industri 4.0 dalam kalangan syarikat dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. 

“Insentif pelaburan lain termasuk cukai karbon bagi sektor hard-to-abate, iaitu besi dan keluli, Insentif Pelaburan Semula di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Elaun Cukai Pelaburan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin mengetahui mengenai impak ke atas pelaburan dari AS akibat perang dagang dan tarif serta langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan impak terhadap ekonomi.

Katanya langkah lain ialah menambah baik dan memudah cara proses pelaburan dengan menawarkan khidmat fasilitasi projek pelaburan dan maklumat di portal MySite Selection dan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia. 

“Selain itu, kementerian terus berusaha mempertingkat akses pasaran eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia termasuk menarik pelaburan asing masuk ke negara melalui pengukuhan hubungan perdagangan dengan pasaran sedia ada dengan mengoptimumkan 18 perjanjian perdagangan bebas,” katanya. 

Katanya MITI melalui agensinya akan terus mempertingkat usaha memperkasakan perdagangan antarabangsa khususnya pelaburan langsung asing dengan matlamat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan dasar di bawah MITI termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional, Strategi Semikonduktor Nasional, Revolusi Industri 4.0 dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS). 

 -- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan