Daripada Samantha Tan Chiew Tieng
OSAKA, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia telah merekodkan kira-kira RM15.6 bilion potensi perdagangan dan pelaburan di Ekspo 2025 Osaka, melebihi sasaran awal sebanyak RM13 bilion, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pencapaian itu adalah 120 peratus daripada matlamat asas, menekankan tarikan global Malaysia yang semakin meningkat dan kekuatan perkongsian antarabangsanya.
"Kejayaan itu dipacu oleh pendekatan keseluruhan kerajaan dengan Pavilion Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti dan pameran dinamik setiap minggu.
"Sehingga tamat ekspo pada 13 Oktober depan, kami menyasarkan untuk menganjurkan lebih 208 program perniagaan dan 98 aktiviti bukan perniagaan," katanya ketika berucap pada majlis Hari Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Fadillah berkata Pavilion Malaysia terus menarik perhatian global menerusi minggu industri terpilihnya, menonjolkan sektor utama seperti tenaga hijau, inovasi halal, transformasi digital dan pembuatan termaju.
Beliau berkata program itu seiring dengan dasar negara Malaysia termasuk Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), selain mempromosikan sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal dan ekonomi digital.
Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan Pelan Induk Perindustrian Negara Malaysia 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi MADANI.
Fadillah berkata Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka telah muncul sebagai salah satu tarikan paling meriah, menerima lebih 2.8 juta pengunjung sejak dibuka pada 13 April lepas, hampir dua kali ganda sasaran asalnya sebanyak 1.5 juta
Beliau juga berkata sambutan luar jangkaan itu mencerminkan daya tarikan unik pavilion itu, menggabungkan rakyat, budaya dan warisan Malaysia ke dalam kisah keharmonian yang menarik.
"Fakad (bahagian depan) buluhnya, diinspirasikan daripada fabrik songket ditenun, memancarkan cahaya pada waktu malam untuk melambangkan perpaduan dan kepelbagaian, manakala reka bentuk dalaman dengan kayu Malaysia dan warna alam semula jadi menghubungkan landskap negara dengan tradisi Jepun yang dikongsi bersama," katanya.
Fadillah berkata selain seni bina, pengunjung turut terpesona dengan persembahan kebudayaan diadakan secara harian, program perniagaan dan pameran kulinari secara langsung terutamanya "roti canai" yang sangat terkenal, membantunya memperoleh pencalonan sebagai Pavilion Gourmet Antarabangsa Terbaik.
"Inisiatif ini meningkatkan jenama Malaysia dan persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, apabila kami akan mengalu-alukan dunia dengan layanan Malaysia yang terkenal," tambahnya.
Fadillah berkata cita-cita Malaysia di Ekspo 2025 adalah untuk menterjemah sinergi kepada hasil yang mampan dan pavilion itu meletakkan negara untuk menarik pelaburan, mengukuhkan industri utama dan mengintegrasikan perniagaan Malaysia dengan rantaian bekalan global.
"Memandangkan ekspo itu akan berakhir dalam tempoh 35 hari, saya menjemput semua orang untuk memanfaatkan peluang ini sepenuhnya untuk berhubung dengan kami dan melihat daya tarikan pavilion kami," katanya.
Ekspo 2025 Osaka adalah acara selama enam bulan, berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober di pulau buatan manusia bernama Yumeshima di Osaka.
Bertemakan "Merancang Masyarakat Masa Depan Untuk Kehidupan Kita", ekspo ini mempamerkan idea inovatif, teknologi dan pelbagai pameran dan acara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial