PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengingatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bahawa meskipun kerajaan komited untuk menyediakan dasar dan insentif yang menyokong pertumbuhan dan pembangunan modal insan, transformasi sebenar mesti bermula dalam setiap organisasi.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pemimpin perlu menyedari bahawa pekerja bukan sahaja sumber tetapi penggerak di sebalik setiap perusahaan yang berjaya.
"Melabur dalam bakat adalah melabur untuk masa depan perniagaan anda dan, akhirnya, negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan HR PKS 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia iaitu menyumbang 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dan menggaji hampir separuh tenaga kerja negara.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata cabaran PKS dalam isu seperti menarik bakat berkemahiran, mengekalkan pekerja dan memenuhi keperluan pematuhan bukanlah isu terpencil tetapi merupakan isu nasional yang memberi kesan kepada daya saing Malaysia.
Beliau justeru menggesa perubahan minda dalam kalangan pengasas PKS yang sering melihat pengurusan sumber manusia sebagai pusat kos dan bukannya pemacu pertumbuhan strategik.
Data daripada SME Corp Malaysia, katanya, menunjukkan bahawa PKS dengan amalan HR berstruktur berkembang 2.5 kali lebih cepat dan tiga kali lebih cekap berbanding PKS yang tidak mempunyai amalan sedemikian.
Timbalan perdana menteri juga menyorot trend HR baharu muncul yang akan membentuk masa depan bidang pekerjaan termasuk pengambilan didorong AI, pengambilan pekerja berasaskan kemahiran, pengaturan kerja hibrid, inisiatif kesejahteraan pekerja, kepelbagaian dan keterangkuman, pengurusan prestasi tangkas dan amalan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Ini bukan kemungkinan masa depan, ia adalah realiti yang sudah membentuk perniagaan di peringkat global. Persoalan utamanya adalah sama ada PKS Malaysia akan menyesuaikan diri dengan cukup pantas untuk merebut peluang. Mereka yang melakukannya akan berkembang maju manakala mereka yang bertangguh berdepan risiko ketinggalan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial