AM

Zainani Jusoh Dilantik Akauntan Negara Baharu

03/09/2025 12:54 AM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Zainani Jusoh dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu berkuat kuasa 3 Sept.

Pelantikan Zainani itu diumumkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam kenyataan hari ini bagi menggantikan Datuk Nor Yati Ahmad yang bersara wajib hari ini.

“Surat pelantikan Zainani sebagai Akauntan Negara telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Putrajaya pada 27 Ogos lepas,” menurut kenyataan itu.

Zainani yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan merupakan akauntan bertauliah serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

"Zainani berpengalaman sebagai penjawat awam lebih 30 tahun apabila mula menyertai sektor awam pada 1994 sebagai akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro, JANM.

"Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian antaranya Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," menurut kenyataan itu.

Zainani turut memainkan peranan penting dalam menukar landskap pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia luar negara dari manual kepada pendigitalan.

JANM memaklumkan perubahan besar itu membolehkan pengurusan kewangan di semua kedutaan Malaysia diurus dengan lebih cekap, tepat dan cepat.

Sebelum menjawat jawatan Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023, beliau pernah mengetuai Bahagian Khidmat Perunding JANM serta Bahagian Akaun Kementerian Kewangan dari 2019 hingga 2023.

Atas sumbangan dan kecemerlangan perkhidmatan, Zainani telah dianugerahkan darjah kebesaran Bentara Setia Mahkota sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada 2015.

“JANM ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Zainani bagi menggalas tugas dan amanah sebagai Akauntan Negara bermula dari 3 Sept 2025,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan