JENAYAH & MAHKAMAH

Dagangan Orang Dalam: Mahkamah Tolak Rayuan, Bekas Pengarah Diperintah Bayar RM1.24 Juta Kepada SC

03/09/2025 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas Pengarah Eksekutif Patimas Computers Datuk Ng Back Heang membayar RM1.24 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana didapati bertanggungjawab atas dagangan orang dalam.

Menurut kenyataan SC hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Nadzarin Wok Nordin dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan Ng dengan kos RM30,000.

SC memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini pada 2022 mendapati Ng bertanggungjawab atas dagangan orang dalam di bawah Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Mahkamah Rayuan mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ng membayar RM1.24 juta kepada SC. Ini bersamaan dengan tiga kali kerugian yang dielakkan oleh Ng, akibat daripada dagangan orang dalam.

"Ng juga diperintahkan membayar penalti sivil RM700,000 kepada SC dan dilarang dilantik sebagai pengarah mana-mana syarikat awam tersenarai selama lima tahun, bermula dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi pada 17 Nov 2022. Mahkamah Tinggi juga memberikan SC sebanyak RM100,000 sebagai kos,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu pelanggaran berkenaan berlaku apabila Ng melupuskan 16.5 juta saham Patimas yang dimilikinya antara Mei dan Julai 2012, ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan pertanyaan audit dan isu mengenai transaksi mencurigakan antara Patimas dan penghutang utamanya.

“Perkara itu telah dibangkitkan dan dibincangkan oleh juruaudit luar Patimas semasa mesyuarat dengan pengurusan syarikat,” menurut kenyataan itu.

Menurut SC, pada 31 Julai 2012, Lembaga Pengarah Patimas mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu tidak akan dapat mengeluarkan Penyata Kewangan Tahunan Telah Diaudit untuk tempoh kewangan dari 1 Jan 2011 hingga 31 Mac 2012 disebabkan penemuan atau pertanyaan audit penting yang tidak dapat diselesaikan.

Kenyataan itu memaklumkan dagangan orang dalam merupakan satu pelanggaran serius kerana ia menjejaskan integriti pasaran modal dan seterusnya menghakis keyakinan pelabur dalam pasaran saham dan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu menegaskan bahawa pelanggaran tersebut tidak akan diberi toleransi oleh SC dan mahkamah.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SC iaitu Mohd Hafiz Mohd Yusoff, Mageswary Karroppiah, Eunice Ong Jo Xing serta peguam luar SC yang dilantik manakala Ng diwakili peguam Datuk Jasbeer Singh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan