KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Penganjuran program Langkahan Merdeka anjuran Perpustakaan Digital Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kebun Bandar Sungai Bunus (KBSB) hari ini bertujuan memupuk kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan petugas Bernama.
Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP Roziah Md Yunus berkata penganjuran program itu juga adalah usaha DBP dalam memperkasa penguasaan bahasa kebangsaan sebagai sebahagian daripada jati diri bangsa Malaysia.
“Kami berpandangan bahawa program ini amat baik dalam menyemai rasa bangga menjadi anak jati negara dan sewajarnya dilaksanakan di peringkat lebih tinggi, dengan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak,” katanya kepada Bernama.
Roziah berkata pihak DBP akan terus memberi sokongan terhadap sebarang usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan sama ada dalam sektor awam, sektor sosial dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti dianjurkan Bernama bersama DBP hari ini.
“DBP sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” tambahnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Bernama Hasnita Ibrahim berkata program berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan yang menyeimbangkan antara keperluan kerjaya dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan petugas Bernama.
“Kesihatan mental dan fizikal perlu diberi perhatian kerana kedua-duanya penting dalam menjaga produktiviti kerja, sekali gus memberikan sumbangan lebih baik kepada organisasi,” katanya.
Hasnita berkata program yang diisi dengan pelbagai aktiviti seperti beriadah dan sesi kesedaran kesihatan menjadi platform yang baik bagi petugas Bernama untuk saling menyokong dan membina semangat berpasukan.
“Persekitaran kerja yang sihat bermula dengan individu yang sihat. Kita mahu warga kerja Bernama bukan sahaja cemerlang dalam tugas tetapi bahagia dan sihat dalam kehidupan seharian,” tambahnya.
Antara aktiviti yang dianjurkan merangkumi program 6,800 Langkah Merdeka, Pertandingan Penghasilan Video TikTok, Pertandingan Nyanyian Lagu Puisi Patriotik dan Ulasan Buku.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial