KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Rangkaian piza halal tempatan terbesar Malaysia, US Pizza melakar pencapaian penting dengan pembukaan rasmi kios pertamanya di pusat beli-belah di Citta Mall pada Sabtu lepas sekali gus membolehkan menu piza “Ultra Sedap” lebih mudah dinikmati oleh pelanggan.
Menurut syarikat itu, kios baharu yang terletak di C08 Common Ground di aras satu pusat beli-belah berkenaan mencerminkan komitmen dalam menyajikan piza enak dan inovatif kepada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Lokasi strategik berkenaan membolehkan US Pizza memenuhi permintaan pengunjung yang mahukan hidangan yang cepat, lazat dan mengenyangkan ketika berada di pusat beli-belah.
“Inovasi itu menyerlahkan lagi kepakaran US Pizza dalam menyesuaikan cita rasa tempatan sekali gus membolehkan ia menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records sebagai sebuah jenama tempatan di Malaysia sejak 1997 yang berupaya menghasilkan pilihan piza paling bercirikan tempatan (88 variasi),” menurut kenyataan US Pizza.
Format baharu kios itu juga memperlihatkan strategi pengembangan US Pizza, termasuk menawarkan peluang francais yang lebih mudah kerana model ini mengurangkan halangan permulaan bagi usahawan baharu.
Ia sekali gus membolehkan mereka bekerjasama dengan jenama yang diyakini serta berpotensi berkembang.
Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhan syarikat, US Pizza menyasarkan membuka 42 cawangan baharu di seluruh negara pada 2025.
Aspirasi berkenaan sekali gus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dan dalam pasaran serantau, termasuk Singapura dan Indonesia.
Pelancaran itu turut diserikan dengan persembahan kilat berkumpulan bertemakan Hari Kebangsaan yang menambah lagi kemeriahan dan menyemarakkan semangat menyambut kemerdekaan dan inovasi kulinari.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan US Pizza Deric Yeo berkata pihaknya teruja memperkenalkan kios pertama di pusat beli-belah Citta Mall itu, lebih-lebih lagi pada musim sambutan kemerdekaan.
Beliau berkata sempena sambutan Hari Kebangsaan, US Pizza memperkenalkan dua perisa piza eksklusif untuk tempoh terhad yang turut meraikan warisan kulinari tempatan, iaitu Nyonya Fish Pizza dan Sambal Penyet Best Pizza.
“Piza baharu Nyonya dan Sambal Penyet itu bukti komitmen kami terhadap inovasi dan cita rasa tempatan. Selain itu, model kios berkenaan membuka peluang kepada usahawan masa hadapan untuk menyertai rangkaian francais kami dengan pelaburan permulaan yang lebih rendah,” katanya.
Nyonya Fish Pizza pula ciptaan unik berasaskan inspirasi komuniti peranakan yang menampilkan sos masam dan berperisa dengan isi ikan lembut, menawarkan rasa masam yang tersendiri sebagai penghormatan kepada masakan tradisional Nyonya.
"Sambal Penyet Best Pizza pula ialah piza pedas dengan sambal menyengat yang dicipta khas untuk pencinta makanan pedas dengan menawarkan rasa yang lebih enak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial