EKONOMI

LADA, MAG Lancar Kempen Naturally Langkawi Special Deals 2025

25/08/2025 09:34 PM

 

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Malaysia Aviation Group (MAG) telah melancarkan kempen Tawaran Naturally Langkawi Special Deals 2025.

Kempen ini menawarkan sehingga 70 peratus diskaun kepada pelawat Langkawi mulai 1 Okt hingga 31 Disember 2025. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ketika negara bergerak ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan komited sepenuhnya untuk memastikan sektor pelancongan terus berkembang.

"Kempen ini amat tepat secara strategik pada masa. Ia direka bukan sahaja untuk menarik pelawat di luar musim percutian tetapi bertujuan mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi wajib menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya semasa berucap pada pelancaran kempen itu di sini hari ini. 

 Sepanjang tempoh tersebut, pelawat ke Langkawi akan menikmati diskaun 20-70 peratus merentasi pelbagai produk serta perkhidmatan merangkumi hotel, tarikan, pengangkutan, makanan, membeli-belah dan kedai bebas cukai.

Lim menekankan bahawa pada tahap makro, Langkawi secara konsisten menerima sekitar 3 hingga 3.2 juta pelancong setiap tahun, menghasilkan lebih daripada RM7 bilion dalam impak ekonomi.

"Melalui Naturally Langkawi Special Deals 2025, kami berhasrat untuk mencapai peningkatan 15-20 peratus dalam ketibaan pelawat. Jika berjaya, ini boleh diterjemahkan ke dalam anggaran RM150 juta kuasa perbelanjaan tambahan yang akan beredar dalam ekonomi tempatan," katanya.

Malaysia bersedia untuk mengalu-alukan dunia dan sedang membina momentum melalui kempen seperti ini, bagi memastikan dengan menjelangnya Tahun Melawat Malaysia 2026, negara ini bukan sahaja akan mencapai sasaran tetapi juga mempamerkan daya tahan Malaysia, kreativiti serta keramahan yang tiada tolok banding.

Sementara itu, Pengurus Bahagian Pelancongan LADA Dr Azmil Munif Mohd Bukhari berkata secara bulanan, Langkawi menerima 150 ribu pelancong.

“Tahun ini kita sasar 3.5 juta pelancong dan nilai perbelanjaan sejumlah RM8 bilion di pulau ini sebab kita menyasarkan 58 peratus adalah pelancong antarabangsa dan selebihnya adalah pelancong tempatan. 

“Tahun lepas kita dapat 3.2 juta pelancong ke Langkawi, 60 peratus adalah pelancong antarabangsa dan 40 peratus adalah pelancong tempatan,” katanya. 

Menurut Azmil Munif, setakat Julai 2025, seramai 1.7 juta pelancong direkodkan memasuki Langkawi atau lebih 50 peratus daripada sasaran tahun ini iaitu 3.5 juta pelancong ke Langkawi.

“Insya Allah (sasaran akan tercapai), memang itulah sasaran kita (3.5 juta pelancong ke Langkawi) yang kita cuba nak dapat pada tahun ini.

“Kita mahu Langkawi lebih meriah terutamanya dengan aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti,” katanya. 

Bersempena dengan pelancaran tersebut, LADA dan MAG telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MHholidays menyediakan pakej perhotelan serta perkhidmatan penerbangan yang terhad.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA (CEO) Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Perjalanan dan Kesetiaan MAG Philip See, dengan disaksikan oleh Lim.

LADA ditubuhkan pada 15 Mac 1990, sebagai badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423), dan merupakan agensi di bawah Kementerian Kewangan (MoF) yang memainkan peranan dalam membangun serta mempromosikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan