AM

23 Keluarga Ladang Sungai Kechil Terima Rumah Mutiaraku Secara Percuma

16/08/2025 05:02 PM

NIBONG TEBAL, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memberi rumah gantian secara percuma di bawah projek pembangunan Rumah MutiaraKu (RMKu) kepada 23 keluarga di Ladang Sungai Kechil di sini, yang berdepan tindakan pengusiran ekoran kemelut tanah sejak hampir 10 tahun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata setiap keluarga akan menerima rumah jenis C1 iaitu teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air serta tempat letak kereta, selain turut dibina semula ialah tiga kuil di tapak asal.

“Sebuah syarikat telah dipilih untuk membangunkan projek ini dan mereka perlu kemukakan pelan kebenaran merancang terlebih dahulu. Sekiranya diluluskan dalam tempoh pendek, kita jangka pembinaan dapat dimulakan awal tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Chow berkata berkata proses pengambilalihan tanah seluas 2.48 hektar itu selesai dilakukan tahun lepas di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960, selepas mencapai persetujuan dengan pemilik hartanah sebagai penyelesaian jangka panjang kepada penduduk.

Beliau berkata secara keseluruhan, projek di tapak itu melibatkan pembinaan 85 unit rumah secara berfasa, namun keutamaan ialah menyiapkan dahulu 23 unit untuk diserahkan kepada penduduk, manakala baki 62 lagi dibuka untuk jualan.

Penduduk terlibat juga tidak perlu berpindah sepanjang tempoh pembinaan, kerana tanah yang mencukupi dan mereka boleh masuk ke rumah baharu yang lebih tersusun, apabila siap.

Sementara itu seorang penduduk V. Thangaraja, gembira kerana kemelut tanah dan penempatan yang membelenggu mereka selama hampir 10 tahun akhirnya selesai.

“Sebelum ini memang susah hati sebab tidak tahu hendak berpindah ke mana, sebab kami telah mendiami penempatan di sini lebih 100 tahun sejak zaman datuk dan nenek kami,” kata generasi pekerja estet itu.

S. Naris, 36, pula yang bersyukur menerima berita gembira itu serta berterima kasih atas keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri, kerana membantu penduduk sehingga membolehkan mereka mendapat rumah kekal.

Terdahulu, Chow menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Bagi Projek Pembangunan Perumahan RMKu di Tanah Lot 10059 Mukim 8 Daerah Seberang Perai Selatan antara Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Sierra Residences (M) Sdn Bhd.

LPNPP diwakili Ketua Pegawai Bisnes Fakhurrazzi Ibnu Omar manakala Sierra Residences (M) Sdn Bhd diwakili Pengarah Datuk Khoek Su Kiang.

Pada majlis tersebut turut diadakan penyerahan surat tawaran kepada pembeli RMKu projek Residensi Rambai Indah dan Harbour View Residence.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan