KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Orang ramai dijemput hadir dengan berpakaian serba putih pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka esok, bagi membawa suara Malaysia sebagai negara yang teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin dan keamanan buat bumi Gaza.
Dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara, acara itu akan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.
Turut serta, Pengarah Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia dan Pengarah Konvoi Sumud Nusantara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Acara itu diselitkan dengan pelbagai pengisian rohani termasuk solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah, persembahan khas qasidah, serta gimik perasmian pelepasan delegasi Sumud Nusantara untuk Flotilla Gaza.
Acara anjuran bersama MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia itu dinaungi Perdana Menteri yang juga Penaung Sumud Nusantara serta disokong Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Program berkenaan adalah acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025 yang bermula semalam hingga esok.
Antara tarikan karnival itu termasuk VR Gaza Time Tunnel, satu inovasi kemanusiaan oleh MAPIM, pertunjukan belon panas, Havoc Food Festival, pameran pelbagai agensi, pelancaran Ensiklopedia Himpunan Projek Malaysia di Gaza (Gaza 101), Kids World Hall dan tayangan filem berkisar perjuangan Gaza.
Lebih 1,000 kenderaan dari seluruh negara dan lapan negara luar dijangka menyertai konvoi darat solidariti dengan membawa bendera Palestin menuju ke Dataran Merdeka sebagai tanda kesatuan masyarakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Kemudahan awam termasuk surau disediakan namun orang ramai dinasihatkan membawa tikar, sejadah dan payung serta digalakkan menggunakan pengangkutan awam demi keselesaan dan kelancaran acara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial