AM

Belon Udara Panas Antara Tarikan Karnival Sumud Nusantara 2025

23/08/2025 08:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Belon udara panas antara aktiviti yang mencuri tumpuan ramai pengunjung Karnival Sumud Nusantara 2025 di padang Dataran Merdeka pada hari ini.

Pengunjung berpeluang menaiki belon udara panas yang diikat dengan bayaran RM20 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak bermula lewat petang hingga malam ini dan dari 2 hingga 5 petang esok.

Pengarah Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby berkata acara itu antara aktiviti bagi menarik orang ramai ke karnival tersebut.

"Selain itu, pengunjung boleh mencuba inovasi Terowong Masa VR Gaza secara percuma dan boleh makan-makan di festival ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada karnival itu hari ini.

Beliau turut mengajak orang ramai menghadiri karnival itu dalam usaha membantu rakyat Palestin dengan menyokong pelbagai aktiviti yang dilaksanakan menerusi pameran dan reruai disediakan.

"Saya tengok yang datang di karnival ini bukan sahaja Orang Melayu tetapi ada Cina dan India... ia memberi kesan bahawa Palestin merentasi semua… jadi, kita harapkan pada sesiapa yang bercadang untuk datang, terus datang guna pengangkutan awam dan berpakaian putih, pakai mafla, bawa anak-anak, sediakan tikar, bawa juga sejadah dan payung," katanya.

Orang ramai dijemput hadir dengan berpakaian serba putih pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka esok untuk membawa suara Malaysia sebagai negara yang teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin serta keamanan buat bumi Gaza.

Dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara, acara itu akan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menyampaikan syarahan perdana dan ucapan perasmian.

Acara itu diselitkan dengan pelbagai pengisian rohani termasuk solat hajat perdana, bacaan Qunut Nazilah, persembahan khas qasidah serta gimik perasmian pelepasan delegasi Sumud Nusantara untuk Flotilla Gaza.

Karnival anjuran bersama MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia itu dinaungi Perdana Menteri yang juga Penaung Sumud Nusantara serta disokong Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Program itu adalah acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025, yang berakhir esok.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan