KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Sarawak melakar pencapaian baharu apabila negeri itu akan mengeksport nanas varieti sendiri, SG-1 atau Sarawak Gold-1, ke China dan Singapura mulai tahun depan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kejayaan tersebut membuktikan kemampuan Sarawak membangunkan varieti buah tropika premium yang berdaya saing untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, pencapaian itu juga membuktikan tiada negeri atau wilayah dipinggirkan oleh kementerian berkenaan mahupun Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan program serta projek berkaitan sektor keterjaminan makanan negara.
“Sarawak mencatat beberapa pencapaian membanggakan. Sebagai contoh, tahun hadapan negeri itu akan mula mengeksport nanas varieti sendiri, SG-1, buat pertama kali ke China dan Singapura,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung dakwaan Sarawak dipinggirkan dalam projek keterjaminan makanan serta sasaran kementerian dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
Authur berkata bagi komoditi lain, kementerian mempunyai sasaran dan dasar yang cukup jelas seperti menerusi program pengukuhan jagung bijian negara dengan sasaran meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2040 dan pengeluaran bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga yakin Sarawak mampu muncul sebagai zon tumpuan keterjaminan makanan negara sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap makanan import.
Katanya, pelbagai program dan projek berkaitan keterjaminan yang dilaksanakan di negeri itu adalah selaras dengan hala tuju yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak.
Dalam sektor tanaman nanas, industri ini turut diberi suntikan baharu melalui Projek Pemodenan dan Pemerkasaan Industri Nanas Berimpak Tinggi Malaysia Timur, yang membuka peluang kepada rakyat Sarawak untuk menyertai keseluruhan rantaian nilai nanas.
“Ini merangkumi pengeluaran, pemasaran, pembangunan produk hiliran, pemanfaatan sisa, sehinggalah mekanisasi dan automasi, bagi meningkatkan produktiviti serta menjadikan industri ini lebih berdaya saing.
“Bagi memacu agenda menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi terbesar negara menjelang 2030, tumpuan diberikan kepada pelaksanaan dan penyiapan 10 projek pembangunan serta penaiktarafan infrastruktur pengairan dan saliran dengan jumlah kos keseluruhan RM271.89 juta,” katanya.
Beliau menjawab soalan asal Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai rancangan kerajaan menjadikan Sarawak sebagai zon tumpuan keterjaminan makanan, sejajar dengan kejayaan pelaksanaan Sarawak PCDS 2030 dan berakhirnya Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial