EKONOMI

Malaysia Perlu Beralih Kepada Ekonomi Berasaskan Penciptaan Nilai - Amir Hamzah

21/08/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu beralih kepada pembangunan ekonomi yang berasaskan penciptaan nilai dengan meningkatkan kerencaman ekonomi untuk menaikkan siling, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau yang juga menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata tumpuan akan diberikan kepada sektor dan industri bernilai tinggi berasaskan teknologi dan inovasi yang peralihan ini akan dapat memupuk budaya mencipta, seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama produk pengguna untuk dieksport ke seluruh dunia.

“Ini sejajar dengan usaha beralih daripada konsep ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’,” kata beliau ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata keutamaan akan diberi untuk melonjakkan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV)), merangkumi industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, terutama semikonduktor, peralihan tenaga, serta teknologi dan digital.

“Strategi ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Selain itu, subsektor agromakanan dan agrikomoditi akan terus dilonjakkan bagi memastikan keterjaminan makanan dan pengurangan import,” katanya.

Mengenai unsur nadir bumi, beliau berkata, ekonomi hijau dan ekonomi biru serta inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

“Bagi pembangunan sektor strategik berimpak tinggi pula akan ditumpukan kepada usaha untuk memantapkan sektor pelancongan, Di samping itu, industri pengangkutan udara, perkhidmatan global dan kewangan, perdagangan pengedaran, logistik serta sukan juga akan dirancakkan.

“Bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri ini, ekosistem sokongan akan ditambah baik melalui pengukuhan dasar dan tatakelola, penyediaan insentif dan pembiayaan serta pembangunan infrastruktur. Langkah ini akan menyokong pelaburan berkualiti dan penskalaan industri,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan meletakkan sasaran ekonomi dalam tempoh RMK13 dengan mengambil kira prestasi RMK12 serta perspektif ekonomi dan perdagangan dunia seperti pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar disasarkan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun (RMK12: 5.0 peratus).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan