AM

Masalah Kesihatan Tidak Halang Nurul Allyssa Raih Anugerah Khas Menteri

20/08/2025 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Biarpun pernah diuji dengan masalah kesihatan sehingga hampir sebulan tidak dapat hadir ke kelas, namun ia tidak menghalang Nurul Allyssa Saadon meraih Anugerah Khas Menteri (Graduan Terbaik Keseluruhan) dalam Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) ke-31 di sini hari ini.

Nurul Allyssa, 25, yang merupakan Graduan Sijil Seni Reka Bentuk Grafik Komputer (SGK) berkata dorongan yang diberikan oleh keluarga dan tenaga pengajar menguatkan semangatnya untuk terus belajar demi mengubah masa depan diri dan keluarga.

“Saya tidak menyangka akan dapat anugerah ini. Walaupun kerap sakit dan tertinggal pelajaran hampir sebulan, namun berkat dorongan guru-guru, saya dapat bangkit semula dan menyiapkan semua tugasan yang diberikan," kata Allyssa kepada pemberita selepas majlis konvokesyen berkenaan.

Anak keenam daripada tujuh beradik yang merancang untuk memulakan perniagaan sendiri satu hari nanti berkata dengan adanya institut seperti IKB, ia dapat membantu pelajar B40 sepertinya mengikuti pengajian dengan pelbagai bantuan diterima termasuk makanan percuma dan elaun bulanan.

Sementara itu, Graduan Diploma Teknologi Reka Bentuk Fesyen Nur Athirah Nadhilah Abdul Rahman, 21, diumumkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Kemahiran yang hadir menerima anugerah berkenaan bersama ibu serta ayahnya yang mengidap penyakit strok sejak 10 tahun lepas.

"Emak dan ayah adalah kekuatan saya untuk belajar sehingga mencapai kejayaan hari ini. Sebelum ini kami terpaksa bergantung hidup dengan wang pencen ayah di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang kurang daripada RM1,000 sebulan selain dibantu oleh kakak.

“Saya berharap dengan ilmu dan kelulusan yang ada, dapat membantu saya menggapai cita-cita untuk menjadi pereka fesyen terkenal di dalam dan luar negara serta memiliki butik dengan jenama sendiri suatu hari nanti sekali gus mengubah nasib keluarga,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik.

Majlis Konvokesyen ke-31 itu menyaksikan 97 graduan diraikan, merangkumi tujuh program kemahiran, satu program diploma dan enam program sijil. Para graduan turut menerima pengiktirafan berprestij termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, Perakuan Kekompetenan Pendawai Tiga Fasa (PW4) serta Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). 

Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan