AM

INDex POLYCC Platform Rapatkan Jurang Keperluan Industri, Sektor Pendidikan - KSU

20/08/2025 09:14 PM

KUANTAN, 20 Ogos (Bernama) -- Program Industri Nexus POLYCC 2025 (INDex POLYCC) dapat dijadikan platform bagi merapatkan jurang antara keperluan industri dan output sektor pendidikan di negara ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Anesee Ibrahim. 

Beliau berkata program yang menghimpunkan pensyarah dan pelajar daripada seluruh institusi politeknik serta kolej komuniti selain pemain industri itu, juga menjadi pemangkin kepada inovasi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bersifat kolaboratif, kreatif serta berpandangan jauh.

“Pelaksanaan program ini dilihat dapat memberi impak yang menyeluruh kepada pelajar, pensyarah, institusi, industri dan masyarakat.

“Ia juga mampu memberi manfaat kepada pelajar dalam membina keyakinan diri, daya saing dan kebolehpasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan INDex POLYCC di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di sini hari ini. 

INDex POLYCC 2025 yang berlangsung dua hari bermula semalam melibatkan pelbagai aktiviti antaranya sesi dialog bersama industri, taklimat industri, penjurian pitching secara bersemuka, pameran Pusat Teknologi (COT), taklimat kerjaya, temu duga terbuka serta pameran usahawan siswa. 

Dalam majlis berasingan, Anesee berkata penubuhan pusat pembelajaran dan penilaian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dilihat dapat memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi, selain membuktikan kesediaan universiti itu memacu transformasi digital serta memperluas akses pembelajaran sepanjang hayat.

“Penubuhan pusat berkenaan berjaya menjadikan UMPSA penanda aras baharu pendidikan fleksibel dan digital di negara ini di samping memperkukuh hubungan dengan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pusat Verifikasi Kualiti (QVC), Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro-Credential (FLEXMC) serta Pusat Penilaian APEL Zon Pantai Timur di UMPSA Pekan hari ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan