AM

KPKT Teliti Cadangan Pinda Akta 118, Perkukuh Tindakan Projek Komersial Bermasalah

18/08/2025 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti cadangan pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi memperluaskan skop tindakan ke atas projek komersial yang bermasalah.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata pindaan itu akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanan dengan lebih berkesan dan menyeluruh termasuk menyenarai hitam ahli lembaga syarikat pemaju induk serta syarikat subsidiari.

Katanya langkah itu mampu memperkukuhkan tindakan dan kawalan yang lebih baik sebagai pencegahan awal serta tindakan jangka panjang bagi mengelakkan projek perumahan swasta menjadi sakit dan akhirnya terbengkalai.

“KPKT akan terus mempergiat sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk agensi penguatkuasaan, badan perundangan, pemain industri dan wakil pengguna bagi memastikan pindaan kepada Akta 118 nanti adalah relevan, menyeluruh dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Melalui pindaan ini kelak, bukan sahaja syarikat induk akan disenarai hitam malah pemilik sebenar di belakang tabir syarikat juga akan dikenakan tindakan sama….ini sedang kita perhalusi, dan jika berjalan lancar, pindaan akta ini akan dibentangkan tahun depan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu sama ada ahli lembaga syarikat pemaju dan syarikat pemaju bagi projek komersial juga akan disenarai hitam sekiranya syarikat subsidiari mereka terlibat dalam projek sakit, dan sejauh mana keberkesanan langkah itu.

Mengulas lanjut, Nga berkata apabila sesuatu projek disahkan sebagai projek sakit, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil tindakan proaktif dengan menyenarai hitam pemaju perumahan serta ahli lembaga pengarah syarikat yang terlibat.

Menurutnya, semua syarikat lain yang mempunyai ahli lembaga pengarah yang sama turut disekat daripada memohon lesen pemajuan baharu, manakala akaun pemajuan perumahan (HDA) sedia ada juga dibekukan.

Sementara itu, Nga berkata sehingga 30 Jun, Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah mengesan 233 projek lewat dan 360 projek sakit, dengan 220 projek sakit memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta 14 projek bertukar status menjadi projek lancar, melibatkan 25,822 unit rumah.

“(Secara keseluruhan) sehingga kini sebanyak 1,127 projek terbengkalai telah berjaya diselamatkan dan dipulihkan melibatkan 135,000 pembeli rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Nga berkata KPKT telah membangunkan sistem khas bagi membolehkan bakal pembeli rumah membuat semakan senarai syarikat pemaju yang disenarai hitam melalui portal Teduh di laman rasmi https://teduh.kpkt.gov.my/.

Beliau berkata sistem itu memaparkan maklumat lengkap mengenai syarikat pemaju secara telus untuk rujukan pembeli.

“Saya nasihatkan pembeli membuat semakan di sistem Teduh... hanya beli rumah daripada syarikat pemaju yang tidak disenarai hitam.

“Tahun ini sahaja, sebanyak 109 syarikat pemaju perumahan telah disenarai hitam dan mereka akan disekat daripada berniaga dalam sektor pemajuan perumahan, demi melindungi hak dan kepentingan awam,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung keberkesanan langkah senarai hitam sekiranya tiada sistem pemarkahan terbuka atau track record rating syarikat pemaju untuk rujukan orang awam sebelum membeli rumah.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan