KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 pasukan itu hari ini.
Menerusi hantaran Facebook, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata SMART telah menabur bakti selama tiga dekad demi memastikan keselamatan rakyat di dalam negara serta di persada antarabangsa.
“Daripada misi menyelamat pascagempa bumi di Turkiye dan Nepal, operasi kemanusiaan sewaktu tragedi tsunami di Aceh, hinggalah penglibatan dalam banjir besar di Selangor, Pahang dan Kelantan, pasukan SMART sentiasa tampil sebagai barisan hadapan negara dalam detik paling genting,” katanya.
Lebih membanggakan, Ahmad Zahid berkata SMART turut menjadi pasukan pertama di Asia Tenggara yang mendapat status Heavy bagi operasi mencari dan menyelamat di kawasan bandar (USAR) daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG), sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam jaringan penyelamat antarabangsa.
Ahmad Zahid berkata pasukan itu turut diberi kepercayaan oleh Rusia untuk menjadi mentor kepada pasukan mencari dan menyelamat negara itu, RUS-03, dalam persediaan menghadapi penilaian oleh INSARAG.
“Saya kagum dengan ketekunan, disiplin, dan adaptasi teknologi canggih yang sentiasa dipertingkatkan. SMART kini bukan sekadar pasukan elit, tetapi sebuah institusi yang diiktiraf dan disegani.
“Semoga Pasukan SMART terus maju, bersedia menghadapi apa jua cabaran masa depan, dan kekal sebagai barisan hadapan yang teguh dalam apa jua bencana. Terima kasih, dan tahniah atas tiga dekad kecemerlangan untuk rakyat dan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial