KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) 2025 berjumlah RM200 juta dilancarkan hari ini, dengan Agrobank sebagai agensi pelaksana bagi memperkukuh sektor agromakanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata dana itu, bertujuan meningkatkan keterjaminan makanan serta menyokong kelestarian industri pertanian dan agromakanan negara, dengan menawarkan kemudahan pembiayaan kepada usahawan komuniti tani.
“Program ini bertujuan untuk membantu usahawan yang terlibat dengan aktiviti pertanian dan pengeluaran agromakanan dari huluan sehingga hiliran, termasuk aktiviti perkhidmatan sokongan yang saya percaya dapat membantu usahawan terutama di akar umbi.
“Dana ini merangkumi pembiayaan untuk modal tetap seperti pembelian aset dan kos pembangunan, serta keperluan modal kerja bagi keseluruhan rantaian nilai industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan dana itu sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Agrobank Datuk Yunos Abd Ghani dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Arthur berkata Agrobank perlu menilai setiap permohonan untuk menentukan kelayakan pemohon berdasarkan syarat dan skop yang telah ditetapkan, dengan butiran lebih terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Belum tahu lagi bilangan penerima, kerana Agrobank akan terlebih dahulu menilai permohonan yang dibuat, selepas itu kita akan tentukan siapa dan berapa ramai yang layak menerima dana itu,” katanya.
DPA 2025 menawarkan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM5 juta kepada usahawan komuniti tani yang layak dan menepati keperluan projek dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun.
Sementara itu, Arthur berkata Agrobank dan TM One mengadakan kerjasama strategik bertujuan memperkukuh infrastruktur digital Agrobank untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kewangan termasuk ATM, CDM, dan perbankan dalam talian.
Beliau berkata inisiatif itu akan meningkatkan kelajuan Internet dan memperluas jaringan hubungan Agrobank dengan pelanggannya.
“Ini langkah strategik dalam usaha meningkatkan digitalisasi perkhidmatan Agrobank serta memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik kepada masyarakat, terutamanya komuniti tani di kawasan luar bandar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial