KOTA KINABALU, 21 Jun (Be rnama) -- Wartawan berpengalaman dan Pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah Datuk Emin Madi menyifatkan penganugerahan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang diterimanya hari ini sebagai satu penghormatan besar dalam dunia kewartawanan.
Emin, 75, berkata anugerah yang membawa gelaran Datuk itu turut mencerminkan penghargaan tinggi daripada kerajaan Sabah kepada Bernama secara keseluruhan, khususnya para petugas Biro Sabah.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penganugerahan ini kepada golongan wartawan di Sabah. Saya percaya ramai lagi wartawan dan penulis yang turut layak menerima anugerah seperti ini,” katanya kepada Bernama selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Sabah 2025 di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Istiadat tersebut menyaksikan seramai 60 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat masing-masing yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Selain Emin, dua lagi petugas Bernama Biro Sabah turut menerima pengiktirafan iaitu Ketua Biro Sabah Fadzli Ramli yang dikurniakan Ahli Darjah Kinabalu (ADK), serta Jurufoto Biro Sabah Zamain Singkui yang menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK). Penganugerahan bagi mereka dijadualkan pada sesi seterusnya yang akan dimaklumkan kemudian.
Dilahirkan di Tambunan pada 29 Nov 1949, Emin memulakan kerjayanya sebagai wartawan pada tahun 1970-an sebelum menyertai akhbar Sabah Times dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.
Bapa kepada dua anak itu menyertai Bernama sejak tahun 1990-an dan telah menghasilkan pelbagai laporan serta artikel dalam bahasa Melayu dan Inggeris, selain menulis beberapa novel termasuk Salarom dan The Green Gold of Borneo.
Novel Salarom memenangi tempat ketiga dalam Sayembara penulisan novel sempena sambutan 50 tahun Hari Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 2007, yang mana tiada pemenang tempat pertama atau kedua diumumkan. Novel tersebut diterbitkan pada 2008.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial