AM

Bernama Rangkul Lapan Anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024

21/06/2025 09:19 AM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakar kejayaan cemerlang apabila berjaya merangkul lapan anugerah pada Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2024, malam ini.

Bernama Radio mencipta kejutan dengan mendominasi kemenangan dalam empat kategori radio yang dipertandingkan iaitu Laporan Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik serta Lintas Langsung Radio Terbaik.

Wartawan penyiaran Bernama Radio Nurliyana Farhah Ruslan menewaskan empat calon lain untuk muncul sebagai pemenang emas bagi kategori Laporan Radio Terbaik sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 berserta trofi dan sijil. 

Selain itu, Bernama Radio turut mendominasi kategori Bicarawara Radio Terbaik dengan menyapu bersih kategori itu menerusi wartawan penyiarannya Edlynna Hanie Abu Hamid, Naziana Md Nasir dan Nur Syazwani Bakhtiar Azam (emas) yang memenangi emas menerusi tajuk “Mahalnya Sebuah Pengorbanan”. 

Wan Shairil Azmir Wan Sharifuddin, Raifanabillah Zulkifli, Khairul Rizuan Azizan pula diiktiraf sebagai pemenang perak, sementara Siti Hashmarr Mohd Hashim, Natasha Aimee Hashim, Muhammad Arif Che Soh memenangi gangsa. 

Sementara itu, dalam kategori Lintas Langsung Radio Terbaik, wartawan penyiaran Bernama Radio Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi diumumkan sebagai pemenang perak manakala Wan Nadia Khairani Wan Chik pula memenangi gangsa. 

Bernama turut memenangi gangsa bagi kategori Dokumentari Radio Terbaik menerusi Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi.

Jurufoto Bernama Mohd Safwan Mansor pula muncul sebagai pemenang emas bagi kategori Foto Esei Terbaik menerusi karya bertajuk “Premis Legasi 100 Tahun Musnah Di Jilat Api” manakala seorang lagi jurufoto Bernama Mohd Syafiq @ Ridzuan Ambak diumumkan sebagai pemenang perak menerusi tajuk “Nostalgia Pelita Kekabu".

Bagi kategori Kewartawanan Foto Terbaik, Mohd Syafiq turut meraih pingat perak menerusi tajuk “Katil Terapung Banjir”.

Sementara itu, bagi Kategori Bicarawara Video Terbaik, wartawan Bernama TV Shahrul Aini Saharan dan Wan Syahrina Wan Ab Rahman meraih pingat perak menerusi laporan bertajuk “Jenayah Sadis: Pembunuh Antara Kita?”

Pingat perak bagi Kategori Kewartawanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Terbaik dimenangi Sakina Mohamed, Shaza Mohd Husam Eddin Al Muzayen, Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz dan Ummul Syuhaida Othman menerusi laporan bertajuk Panel Pile-Up: Solar Waste’s Silent SurgeFrom Sun to Scrap: The Impact of Solar Waste dan When Solar Panels Retire: Navigating the Waste Wave.

Mengulas mengenai kemenangan yang diraih Bernama, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil usaha dan komitmen petugas Bernama yang sentiasa bekerja keras tanpa mengira penat lelah, selain semangat berpasukan yang tinggi.

“Kejayaan ini memberi satu semangat baharu kepada petugas dan wartawan Bernama untuk terus menghasilkan laporan yang lebih baik.

“Kita juga mempunyai ramai wartawan muda yang berbakat dan berkemahiran. Pencapaian ini akan menjadi perangsang kepada mereka untuk terus mencapai kejayaan,” katanya.

Berkongsi kegembiraannya, Mohd Safwan menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang tidak disangka.

“Saya terkejut kerana gambar lain yang disenarai pendek juga sangat menarik tetapi saya bersyukur dengan kemenangan ini.

“Terima kasih kepada keluarga serta barisan editor dan pengurusan Bernama yang sentiasa menyokong serta memberi peluang kepada saya untuk membuat liputan yang bermakna,” katanya. 

Ketua Bernama Radio Azlan Idris pula menyifatkan kemenangan yang diraih sebagai pengiktirafan bermakna terhadap kualiti kandungan yang disiarkan oleh stesen radio itu.

“Alhamdulillah, kemenangan yang dicapai pada malam ini memberikan definisi yang sangat signifikan kepada kandungan yang kami siarkan, sejajar dengan usaha kami mengekalkan kualiti siaran secara konsisten.

“Tidak kira sama ada yang memenangi anugerah pada malam ini mahupun kakitangan lain, semuanya memainkan peranan penting dalam memastikan mutu kandungan kami kekal relevan dan berkualiti,” katanya.

Azlan berkata pengiktirafan itu bukan sahaja memberi semangat baharu kepada pasukan Bernama Radio, malah turut menjadi penanda aras baharu untuk mereka melangkah lebih jauh pada masa akan datang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan