JOHOR BAHRU, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat kematian seorang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram di sini, Isnin lepas.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain kementeriannya jawatankuasa itu turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri.
"Saya difahamkan bedah siasat sudah pun dibuat tetapi kita belum dapat keputusan. Di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita sudah tubuhkan satu jawatankuasa untuk siasat mengenai punca dan sebab kematian mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan seorang wanita yang juga ibu kepada mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, membuat laporan polis selepas jenazah anaknya Syamsul Haris Shamsudin ditemukan dengan kesan lebam yang teruk.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes kematian pegawai kadet berusia 22 tahun itu.
Laporan mengenai mengenai insiden itu diterima pada 5.33 petang, 28 Julai lepas dan hasil siasatan awal mendapati mangsa tiba-tiba meracau dan hilang kawalan ketika menjalani Latihan Inokulasi Tempur di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, PULADA, kira-kira 2.30 petang hari yang sama.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Tinggi oleh pegawai perubatan Rejimen Semboyan Angkatan Tentera namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon kecemasan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial