JERTIH, 29 Jun (Bernama) -- Institut Pendidikan Tinggi (IPT) perlu memantau sebarang tindakan pelajar masing-masing yang mengambil inisiatif sendiri termasuk menyewa bas persiaran untuk pulang ke kampung semasa musim cuti, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata hal ini penting untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, khususnya melibatkan pelajar.
"Saya minta pihak universiti supaya ada komunikasi dan langkah-langkah yang diambil (pelajar) sendiri itu dipantau oleh mereka (IPT)," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa menziarahi rumah Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Datuk Dr Fadzli Adam.
Allahyarham Nurly Sahirah merupakan antara 15 penuntut UPSI yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.
Dalam pada itu, Zambry berkata pihaknya sedang meneliti pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan susulan nahas ngeri itu termasuk memastikan perjalanan pelajar universiti dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam.
"Kita mengambil maklum semua perkara dan pandangan berkenaan, terutama (yang dikemukakan) melalui media sosial, untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata kementerian sentiasa bertindak pantas dan tuntas dalam menyelesaikan masalah yang menimpa pelajar, khususnya melibatkan kematian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial