KUCHING, 28 Jun (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI merupakan inisiatif penting yang bukan sahaja mendekatkan usaha kerajaan dengan rakyat tetapi juga membantu golongan muda dalam menguruskan perbelanjaan bagi menangani isu kos sara hidup.
Pengamal media, Asyraf Halim, 34, berkata sebagai lelaki bujang yang tinggal bersendirian menjadi asbab untuk dia lebih peka terhadap segala promosi barang keperluan.
“Semenjak bekerja dan tinggal sendiri, saya belajar mengurus kewangan sendiri dan saya dapati Jualan Rahmah ini banyak membantu saya berbelanja dengan lebih cermat.
“Berbanding di pasar raya, harga di sini jauh lebih murah yang sedikit sebanyak memberi ruang untuk saya menyimpan pada bulan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Program Jualan Rahmah sempena Festival Maal Hijrah 2025 yang diadakan di pekarangan Masjid Negeri Sarawak di sini hari ini.
Festival tersebut dianjurkan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LKMNS) manakala program jualan diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.
Berkongsi pendapat yang sama, petugas LKMNS dari Telaga Air, Ismasuzilla Bahari, 28, berkata selain dapat membantunya mengurus perbelanjaan, dia juga dapat menyimpan duit untuk kecemasan hasil daripada penjimatan tersebut.
“Dengan adanya Jualan Rahmah, saya dapat buat penjimatan yang banyak dalam pembelian barangan keperluan untuk seisi keluarga.
“Kalau sebelum ini saya membelanjakan kira-kita RM1,000 sebulan untuk barangan basah dan kering bagi isi rumah seramai lima orang, kini menerusi jualan Rahmah saya dapat jimat antara RM300 dan RM400,” katanya yang masih bujang dan tinggal bersama keluarga.
Sementara itu, penolong pegawai di Kementerian Belia dan Sukan, Zulhilmi Alet, 31, berkata dia mengikuti rapat setiap jadual Jualan Rahmah terutamanya di Kuching untuk membeli barangan keperluan.
Dia yang sudah berkahwin namun belum mempunyai anak, berkata pembelian di Jualan Rahmah dapat membantunya berjimat dalam berbelanja untuk ibu bapa dan keluarga mentua.
“Kita sedia maklum keadaan ekonomi sekarang dan dengan perbelanjaan yang bijak dapat membantu menguruskan kewangan saya serta isteri, dan pada masa sama berbelanja juga untuk ibu bapa kami.
“Jadi Jualan Rahmah patut dibuat lebih kerap dengan lebih banyak barang tempatan seperti beras dijual kepada rakyat pada harga yang murah.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu orang muda tetapi juga semua golongan, terutamanya yang berada dalam kumpulan B40,” katanya.
Tinjauan Bernama hari ini juga mendapati orang ramai tidak putus berbelanja di reruai Jualan Rahmah bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga murah seawal ia dibuka pada 8 pagi.
Program Jualan Rahmah MADANI adalah inisiatif penting yang dilaksanakan oleh KPDN, sebahagian daripada payung inisiatif Rahmah yang lebih luas di bawah Belanjawan 2025 bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Ia turut bermatlamat untuk merancakkan ekonomi dengan membantu meningkatkan jualan dan menyokong peruncit tempatan, termasuk pasar raya besar dan kecil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial