AM

Kementerian Pendidikan, Mindef Bina Sekolah Di Serudung Laut Perluas Akses Pendidikan

28/06/2025 08:57 PM

KOTA KINABALU, 28 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (Mindef) akan membina sebuah sekolah di Kampung Serudung Laut, Kalabakan melalui Program Jiwa Murni sebagai inisiatif memperluas akses pendidikan kepada anak-anak di kawasan pedalaman.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata proses mewujudkan sekolah berkenaan sedang berjalan dan mendapat sokongan banyak pihak termasuk komuniti setempat.

"Kita akan pastikan projek ini berjalan dengan lancar. Saya sudah tinjau kawasan berkenaan tempoh hari dalam kunjungan saya sebelum ini dan saya dapati ada ruang akses yang sangat baik … jadi, kita akan segerakan proses ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata sementara menunggu sekolah berkenaan siap, pihaknya telah melaksanakan program khas melibatkan kelas bacaan kepada pelajar di kawasan berkenaan.

"Guru-guru silih berganti datang yang disediakan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Setakat ini, kira-kira 30 pelajar yang mengikuti kelas berkenaan dan kita yakin jumlahnya akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Mengulas mengenai sekolah daif di Sabah, Fadhlina berkata terdapat 390 projek sekolah daif di Sabah dan 230 daripadanya telah siap.

"Sebanyak 67 projek dalam pembinaan dan 93 projek lagi pada peringkat prabina dengan kos keseluruhan kesemua projek berkenaan ialah RM6.078 bilion," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan