KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima penyerahan rasmi dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan beliau di Dewan Rakyat esok.
Perdana Menteri berkata penyerahan dokumen itu menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RMK13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama tanpa ada mana-mana kumpulan yang dipinggirkan.
“Penyediaannya melibatkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pihak berkepentingan merentasi sektor, latar belakang dan wilayah, termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.
“Insya-Allah, saya akan membentangkan usul RMK13 di Dewan Rakyat esok,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata Kerajaan MADANI amat mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua Ahli Parlimen demi memperkukuh dasar dan hala tuju yang digariskan.
Terdahulu, Anwar menerima dokumen RMK13 itu daripada Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Seri Perdana, Putrajaya.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Anwar berkata RMK13 dengan tema “Melakar Semula Pembangunan” itu akan membawa natijah terbaik buat rakyat dan meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad yang lebih gemilang.
“Ayuh, kita lakar semula pembangunan negara, berpaksikan rakyat dan berteraskan nilai ihsan, keadilan serta kemanusiaan agar kita berupaya menggapai langit, namun tetap teguh mengakar ke bumi,” kata beliau.
Pembentangan RMK13 akan berlangsung dalam persidangan Dewan Rakyat pada 12 tengah hari dan akan disiarkan secara langsung oleh Jabatan Penyiaran (RTM) dan BERNAMA TV serta media sosial rasmi Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial