KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM40 bilion untuk sektor kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah bukti jelas komitmen kerajaan merealisasikan matlamat liputan kesihatan sejagat (UHC), sekali gus memastikan tiada rakyat tercicir daripada akses perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan peruntukan itu berbanding kira-kira RM35 bilion sebelum ini merupakan isyarat kukuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar komited untuk memacu reformasi menyeluruh dalam sistem kesihatan negara.
“Jadi, ini secara nyata menunjukkan komitmen Perdana Menteri terhadap kepekaan dan kepentingan dalam memastikan sektor kesihatan terus diangkat.
“Saya mahu tanggungjawab dan amanah ini dipikul seluruh keluarga besar Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memacu dan melunaskan keperluan melaksanakan reformasi kesihatan ini serta meningkatkan sistem penyampaian kesihatan agar kita dapat capai kesihatan sejagat,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 7 di sini malam ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Forum bertajuk “Ke Arah Sistem Penjagaan Kesihatan Mampan Untuk Semua” itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dzulkefly berkata peningkatan peruntukan itu juga signifikan dalam menghadapi pelbagai cabaran dihadapi sektor kesihatan pada masa ini termasuk penuaan populasi, peningkatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta inflasi perubatan.
“Semua ini memberikan petunjuk jelas bahawa Perdana Menteri benar-benar mahu memacu usaha menyelesaikan pelbagai permasalahan yang sedang kita hadapi, termasuk dari segi fasiliti kesihatan.
“Justeru, saya sangat bersyukur dengan peruntukan yang begitu besar ini, yang memberi kita tambahan kira-kira RM4 bilion setiap tahun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial