KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Lebih 1,000 usahawan desa dari seluruh negara akan berkumpul di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula hari ini sempena Karnival Mega Tiga Dimensi sebagai usaha memperkasakan pembangunan ekonomi luar bandar dan menarik minat generasi muda terhadap potensi keusahawanan desa.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata karnival selama lima hari itu ialah kerjasama strategik antara Felda, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang turut menyokong pelaksanaan inisiatif Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
Beliau berkata karnival itu dijangka menjadi platform penting untuk menonjolkan keupayaan serta kepelbagaian usahawan desa, merangkumi produk tradisional sehingga perkhidmatan moden.
“Kita mungkin akan terkejut melihat jumlah dan jenis produk yang akan dipamerkan nanti. Dulu orang Melayu hanya pandai berurut, tapi sekarang mereka berjaya mengkomersialkan dengan servis yang menarik seperti manicure dan pedicure,” katanya ketika ditemui sebelum menjadi tetamu Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.
Selain itu, beliau berkata penganjuran karnival berkenaan adalah sebahagian daripada langkah memperbaharu jenama Felda supaya tidak hanya dikenali sebagai agensi pertanian, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pasaran desa yang semakin berkembang dan berdaya saing.
“Felda kini bukan hanya mengenai sawit, tetapi sebuah ekosistem yang lengkap. Ada pengilangan, pengangkutan, pemasaran, koperasi, latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kini melangkah ke arah pembangunan keusahawanan digital. Ini yang ingin kita tonjolkan kepada rakyat Malaysia, terutama generasi muda,” katanya.
Pelbagai pengisian turut dirancang sepanjang karnival, termasuk pameran produk desa, pertandingan e-sukan, program sukan rakyat, pameran perumahan generasi baharu serta pelbagai program berkaitan keusahawanan dan kerjaya untuk golongan belia.
Antara pencapaian yang turut ditonjolkan kejayaan orkestra MRSM Felda yang memenangi pingat emas pada pertandingan antarabangsa di Prague,Republik Czech, menunjukkan bahawa anak cucu peneroka kini mampu cemerlang dalam bidang yang jauh di luar tradisi pertanian.
Beliau turut memberi bayangan akan adanya pengumuman penting daripada kepimpinan negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadual hadir pada acara berkenaan.
“Sudah tentu akan ada berita gembira yang akan diumumkan. Ini satu acara yang ditunggu-tunggu bukan hanya oleh warga Felda tetapi juga masyarakat luar,” katanya sambil mengajak orang ramai hadir dan memeriahkan karnival itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial