AM

Felda Lancar Aplikasi MyFelda, Tingkat Kecekapan Dan Ketelusan Maklumat

30/07/2025 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini melancarkan aplikasi mudah alih MyFelda dengan kerjasama strategik anak syarikatnya, FGV Prodata Systems Bhd, sebagai usaha memperkukuh transformasi digital agensi itu ke arah tadbir urus yang lebih cekap, telus dan inklusif bersama-sama komuniti peneroka.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Prodata Shamsuri Jasri Abdul Rahman berkata aplikasi MyFelda bukan hanya berfungsi sebagai saluran maklumat, tetapi juga menjadi pemacu utama dalam usaha menjadikan keseluruhan ekosistem Felda lebih digital dan moden.

“MyFelda direka berlandaskan prinsip ‘Setiap Peranan dengan Akses Tersendiri’, memastikan setiap kumpulan pengguna sama ada peneroka, petugas atau vendor mendapat akses yang tersuai, tersusun dan selamat mengikut keperluan mereka,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Beliau berkata aplikasi berkenaan turut diintegrasikan dengan Sistem Pengurusan Ladang Pintar (SPMS), sebuah penyelesaian perladangan pintar yang menggunakan teknologi seperti dron, sistem maklumat geografi (GIS) dan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkukuh pengurusan ladang sawit Felda.

“Melalui SPMS, kami boleh mencerap data ladang secara tepat untuk menghasilkan analisis kesihatan pokok, mengenal pasti kawasan kosong atau terjejas, merancang aktiviti pembajaan dan kawalan penyakit secara bersasar serta meningkatkan kecekapan operasi ladang,” katanya.

Majlis itu dilancarkan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang turut dihadiri barisan pengurusan Felda, wakil peneroka serta rakan strategik teknologi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pentadbiran dan Teknologi Maklumat Felda Afzal Hanis Hamid Abd berkata aplikasi MyFelda dibangunkan dengan matlamat memastikan peneroka mempunyai akses kepada maklumat terkini dan boleh dipercayai.

“Dengan aplikasi ini, peneroka tidak perlu lagi ke pejabat untuk mendapatkan penyata hasil atau maklumat akaun. Semuanya kini berada di hujung jari, termasuk maklumat ladang, penyata kewangan, rekod pinjaman dan data hasil semasa,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Afzal Hanis berkata antara kekuatan utama aplikasi ini ialah penggunaan pendekatan single source of truth, iaitu semua maklumat disatukan daripada sistem rasmi Felda bagi memastikan tiada percanggahan atau keraguan dalam data yang diterima pengguna.

“Ini satu langkah penting untuk memperkukuh kepercayaan antara Felda dengan peneroka. Apabila data konsisten dan mudah diakses, peneroka lebih yakin dan boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih,” katanya.

Selain itu, beliau berkata aplikasi berkenaan turut membolehkan waris kepada tanah Felda mengakses maklumat ladang dan kewangan secara langsung, sekali gus membantu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan agihan hasil.

“Apabila pemilik asal tanah meninggal dunia, hasil biasanya disalurkan kepada seorang wakil waris. Tetapi, apabila ada tujuh atau lapan adik-beradik, masing-masing akan tanya sama ada jumlah yang diberi sama rata atau tidak.

“Jadi, aplikasi ini sangat membantu kerana semua waris boleh log masuk dan semak penyata yang sama dalam masa nyata. Tidak perlu tunggu orang lain kongsi atau risau ada maklumat yang disembunyikan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa aplikasi MyFelda masih dalam fasa penambahbaikan dan akan terus ditingkatkan berdasarkan maklum balas pengguna, dengan perancangan untuk menambah fungsi lain seperti transaksi digital, saluran aduan dan kemas kini geran tanah dalam versi akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan