AM

KESUMA Lancar Buku Award Terpilih MPM, Perkukuh Sumber Rujukan Industri Perburuhan

25/07/2025 07:12 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan Buku Award Terpilih Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM), menghimpunkan 28 award (anugerah) penting yang dikeluarkan oleh barisan Pengerusi MPM bagi tempoh Januari 2023 hingga Januari 2025.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata buku yang dilancarkan semalam pada Siri Syarahan Perhubungan Perusahaan 2025 itu adalah penerbitan julung kali setebal 524 muka surat. 

Beliau berkata penerbitan buku itu adalah usaha pertama dalam sejarah MPM, yang bertujuan menyediakan sumber rujukan komprehensif kepada pengamal undang-undang, majikan, pekerja serta pihak berkepentingan berkaitan penyelesaian pertikaian perusahaan.

“Buku ini bukan sahaja mengumpulkan keputusan penting MPM, malah turut menawarkan panduan praktikal dalam menangani isu-isu utama perburuhan seperti salah laku pekerjaan, prestasi kerja, pengurangan tenaga kerja dan implikasi ketidakpatuhan terhadap award,” katanya.

Sim berkata secara strategik, inisiatif itu dilihat mampu memperkukuh tahap ketelusan, konsistensi dan kebolehjangkaan keputusan MPM, sekali gus menyokong pembangunan dasar pekerjaan berasaskan data dan undang-undang kes sebenar.

Beliau berkata sebanyak 100 naskhah akan dicetak bagi fasa pertama dan diedarkan kepada semua Pengerusi Mahkamah, institusi pendidikan tinggi, pemain industri serta pemegang taruh utama termasuk agensi kerajaan berkaitan. 

“Versi digital buku ini juga akan disediakan bagi memastikan capaian lebih meluas,” katanya.

Mengenai Siri Syarahan Perhubungan Perusahaan 2025, Sim berkata program sulung anjuran MPM itu menjadi platform himpunan pemegang taruh utama dalam ekosistem perhubungan perusahaan.

Beliau berkata program sehari itu disertai pegawai MPM, wakil agensi kerajaan, peguam, majikan, kesatuan sekerja dan pelajar undang-undang.

Menurut Sim, sesi ceramah ilmiah dikendalikan oleh dua tokoh berpengalaman iaitu Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Dr Ashgar Ali Ali Mohamed dan Pengerusi MPM J. Paramalingam, yang berkongsi pandangan berhubung isu perburuhan semasa serta kaedah penyelesaian inovatif dan beretika.

Sim berkata program itu juga bertujuan merangsang penyertaan generasi muda dalam bidang perhubungan perusahaan dan memperkukuh hubungan strategik antara MPM dengan semua pemegang taruh, ke arah sistem penyelesaian pertikaian yang lebih progresif dan responsif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan