AM

MPM Perkenal Bantuan Guaman Percuma Untuk Pihak Berkelayakan - KESUMA

24/07/2025 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pihak yang mempunyai kes di Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) kini boleh mendapatkan khidmat guaman secara percuma susulan pelancaran Program Bantuan Khidmat Guaman oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). 

KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan itu disediakan hasil kerjasama strategik antara MPM dan tiga badan guaman utama negara iaitu Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak.

Pengumuman program itu dibuat oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim sempena Majlis Makan Malam Apresiasi MPM yang berlangsung di sebuah hotel di sini semalam.

“Di Semenanjung, pihak yang mempunyai kes boleh mendapatkan khidmat bantuan guaman ini melalui Pusat Bantuan Guaman kelolaan Majlis Peguam Malaysia.

“Perkhidmatan ditawarkan kepada mereka yang layak berdasarkan Ujian Kemampuan mengambil kira pendapatan dan komitmen kewangan seperti pinjaman perumahan, sewa bulanan dan kos sara hidup,” menurut kenyataan itu. 

KESUMA berkata tiada bayaran dikenakan untuk khidmat guaman, hanya kos perbelanjaan langsung seperti pengangkutan peguam, fotokopi dan surat akuan sumpah perlu ditanggung pemohon memandangkan tiada fi pemfailan dikenakan oleh MPM.

KESUMA menjelaskan dalam membuat penilaian kelayakan penerima bantuan guaman, lokasi tempat tinggal dan dokumen sokongan seperti penyata gaji, bil utiliti dan surat pengesahan turut diperlukan selain melihat kepada had jumlah pendapatan bulanan suami isteri (selepas ditolak semua perbelanjaan) yang tidak lebih RM1,000 manakala bujang tidak melebihi RM800.

Selain itu, nilai aset mestilah tidak melebihi RM75,000 (rumah/harta), motosikal (RM4,500), kereta dan lain-lain (RM15,000) serta simpanan (RM5,000). 

“Pihak pengurusan berhak menggunakan budi bicara untuk menilai permohonan berdasarkan kes demi kes,” menurut kementerian itu. 

KESUMA juga berkata di Sabah dan Sarawak, perkhidmatan itu ditawarkan melalui Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak mengikut syarat yang ditetapkan oleh badan-badan guaman berkenaan.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan MPM dalam memastikan akses kepada keadilan lebih mudah, inklusif dan mampu dicapai oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan pekerja serta majikan yang memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan